Singapore Post (SingPost) telah memeterai perjanjian pembelian saham untuk melepaskan perniagaannya di Australia pada nilai perusahaan A$1 bilion ($870 juta).
SingPost akan menerima hasil tunai sebenar sebanyak A$775.9 juta dan menjana keuntungan daripada penjualan kira-kira $312.1 juta, tertakluk kepada pelarasan yang ditentukan pada masa perjanjian itu selesai.
Pembelinya ialah Pacific Equity Partners, dana ekuiti privet yang beribu pejabat di Australia, kata penyedia perkhidmatan pos nasional itu pada 2 Disember, lapor The Business Times.
Perjanjian itu dibuat selepas satu semakan strategik perniagaan SingPost di Australia, Freight Management Holdings, pada awal 2024.
Semakan semula itu bertujuan meneroka pilihan strategik yang akan meningkatkan nilai perniagaan dan memaksimumkan nilai pemegang saham, kata SingPost.
Segmen Australia syarikat itu termasuk perkhidmatan logistik pihak keempat, penyelesaian logistik pihak ketiga termasuk pengangkutan dan pengedaran dan penghantaran kiriman cepat tahap akhir, serta perkhidmatan pergudangan.
Nilai aset bersih segmen Australia syarikat itu berjumlah kira-kira $384.7 juta pada 30 September 2024.
Hasil perniagaan itu meningkat 44.1 peratus pada 2024 kepada $574.8 juta bagi separuh pertama berakhir September.
Keuntungan operasi meningkat 30.2 peratus pada 2024 kepada $30.4 juta.
SingPost percaya hasil daripada penjualan yang dicadangkan itu akan mengukuhkan kecairan kumpulan itu dan mengukuhkan penyata kira-kiranya.
Ia bercadang menggunakan sebahagian daripada hasil kasar untuk membayar balik pinjamannya, terutama hutang dalam denominasi dolar Australia berjumlah A$362.1 juta pada 30 September 2024.
Jumlah hutang dalam denominasi dolar Australia SingPost berjumlah A$614.8 juta pada akhir September.
Selain itu, kumpulan itu juga berkata ia akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan dividen khas, selepas membayar balik hutangnya dan mempertimbangkan keperluan pembiayaan masa depan SingPost.
Hasil selebihnya akan disimpan oleh SingPost untuk peluang pertumbuhan masa depan bagi melabur dalam perniagaan, aset dan peluang pelaburan sedia ada dan/atau baru, kata kumpulan itu.
Encik Simon Israel, pengerusi SingPost, berkata: “Lembaga percaya penjualan ini adalah pilihan terbaik untuk para pemegang saham dengan memperjelaskan nilai perniagaan yang belum direalisasi dan membawa ke hadapan nilai yang tidak dikunci untuk pemegang saham.”
Setelah selesai penjualan itu, SingPost akan “menyemak dan menetapkan semula” pelan strategiknya, dengan “tumpuan berterusan pada nilai pemegang saham”, kata ketua eksekutif kumpulan itu, Encik Vincent Phang.
Andainya perjanjian itu selesai pada 31 Mac 2024, aset ketara bersih bagi setiap saham SingPost mungkin telah meningkat kepada $0.689 daripada $0.349.
Pendapatan sesaham mungkin mencapai $0.162, meningkat daripada $0.035, jika urus niaga itu diselesaikan pada 1 April 2023.
Penjualan itu dijangka berlaku pada akhir Mac 2025.
Selepas siap, SingPost Australia Investments dan anak syarikatnya, termasuk Freight Management Holdings, tidak lagi menjadi sebahagian daripada kumpulan SingPost.
SingPost akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi urus niaga tersebut.
Ia juga perlu mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Kajian Pelaburan Asing Australia untuk urusan itu dijalankan.
Saham SingPost tutup pada 29 November pada harga $0.58.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg