Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penunjuk perkilangan S’pura catat kelemahan berturut-turut

Mar 4, 2025 | 5:18 PM
Walaupun elektronik kekal sebagai pemacu utama pengeluaran perkilangan, PMInya juga jatuh.
Walaupun elektronik kekal sebagai pemacu utama pengeluaran perkilangan, PMInya juga jatuh. - Foto ST

Penunjuk utama bagi sektor perkilangan Singapura mencatatkan kelemahan berturut-turut buat kali pertama dalam hampir dua tahun.

Indeks pengurus pembelian (PMI) – barometer sektor itu – susut 0.2 mata pada Februari kepada 50.7, turun daripada 50.9 mata pada Januari.

Bacaan melebihi 50 menunjukkan pertumbuhan; di bawahnya menunjukkan penguncupan.

Walaupun barangan elektronik kekal sebagai pemacu utama keluaran perkilangan, PMInya juga jatuh – merosot kepada 51 mata pada Februari, berbanding 51.1 pada bulan sebelumnya, menurut data daripada Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura pada 3 Mac, lapor The Straits Times.

Profesor Madya Goh Puay Guan daripada Jabatan Analisis dan Operasi Sekolah Perniagaan NUS (Universiti Nasional Singapura) berkata walaupun berlaku penurunan, kedua-dua PMI perkilangan dan elektronik kekal positif.

Pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng pula berasa PMI “menunjukkan prospek yang semakin bercampur-campur untuk sektor perkilangan”.

Dr Chua Hak Bin, pakar ekonomi kanan di Maybank Research, turut menyuarakan sentimen itu.

Beliau berkata PMI yang lemah menunjukkan bahawa “pemulihan perkilangan hilang momentum,” dan “ketidakpastian dasar dan perang perdagangan global yang semakin meluas melemahkan prospek pembuatan”.

Namun begitu, gambaran bagi majoriti ekonomi Asia nampaknya lebih ceria, terutama di Asean.

Sementara itu, Singapura, Filipina dan India menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan, manakala hanya Malaysia dan Vietnam yang masih mengalami penguncupan.

Di Singapura, hanya sub-indeks penghantaran pembekal yang mencatatkan kenaikan untuk kedua-dua PMI keseluruhan dan elektronik.

Profesor Goh menyatakan bahawa ini membayangkan “tempoh masa antara tempahan dengan penghantaran telah bertambah baik”.

Ditambah dengan pertumbuhan pesanan tertunggak yang lebih perlahan, ini menunjukkan bahawa “bekalan secara beransur-ansur mengejar permintaan”.

Sebagai perbandingan, majoriti sub-indeks – termasuk untuk stok pembelian sumber pengeluaran, harga sumber pengeluaran, pekerjaan dan perniagaan masa depan – lebih perlahan untuk kedua-dua PMI.

Encik Chua daripada DBS berkata, pengembangan berterusan penunjuk tertentu mencerminkan “permintaan luar yang masih positif untuk barangan perkilangan Singapura... ia menyokong pertumbuhan keluaran perkilangan sebenar, sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2025”.

Beliau berasa kelembapan meluas dalam majoriti sub-bacaan PMI “membayangkan kerapuhan perkilangan semasa Singapura dalam masa terdekat”.

“Ini diburukkan lagi oleh ketidaktentuan dasar perdagangan global yang meningkat yang timbul daripada tarif Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menambah, “ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat menimbulkan risiko penurunan terbesar kepada ekonomi Singapura yang bergantung kepada perdagangan”.

Ketua ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, menyatakan bahawa kedua-dua tempahan baru dan tempahan eksport baru berada pada tahap paling lemah sejak Jun 2024.

Beliau berkata ini “boleh memberi gambaran bahawa keadaan permintaan luaran telah berkurangan”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg