Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perang tarif AS-China: S’pura turunkan unjuran pertumbuhan GDP 2025 kepada ‘0 - 2%’

MTI: Permintaan luar negara bagi barangan, perkhidmatan S’pura dijangka lemah sepanjang tahun, jejas prospek sektor bergantung pada pasaran luar 
Apr 14, 2025 | 1:19 PM
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), permintaan dari luar negara untuk barangan dan perkhidmatan Singapura dijangka lemah bagi sepanjang tahun ini, dan keadaan ini menjejas prospek sektor-sektor yang bergantung kepada pasaran luar. 
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), permintaan dari luar negara untuk barangan dan perkhidmatan Singapura dijangka lemah bagi sepanjang tahun ini, dan keadaan ini menjejas prospek sektor-sektor yang bergantung kepada pasaran luar.  - Foto ST

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan unjuran pertumbuhan Singapura bagi 2025 kepada “0.0 hingga 2.0 peratus” menyusuli kebimbangan perang tarif antara Amerika Syarikat dan China akan menjejas ekonomi global.

Ini penurunan daripada unjuran sebelum ini, iaitu antara 1 peratus hingga 3 peratus, lapor The Straits Times (ST).

Menurut MTI, permintaan dari luar negara bagi barangan dan perkhidmatan Singapura dijangka lemah sepanjang tahun ini, dan keadaan ini menjejas prospek sektor yang bergantung pada pasaran luar. 

“Secara khusus, sektor perkilangan dijangka terjejas paling teruk dek permintaan global yang lemah,” kata MTI pada 14 April.

Keadaan ini, di samping kelembapan perdagangan global, turut menjejaskan pertumbuhan pasaran perdagangan borong.

Kemerosotan perdagangan global juga akan melembapkan pertumbuhan sektor pengangkutan dan penyimpanan, khususnya disebabkan penurunan permintaan bagi perkhidmatan penghantaran kargo melalui laut dan udara, ujar MTI.

Pada masa sama, sektor kewangan dan insurans mungkin mencatatkan kegiatan perdagangan lebih perlahan kerana pelabur mengambil langkah lebih berhati-hati.

Keadaan ini dijangka menjejaskan pendapatan yuran dan komisen bagi perbankan, pengurusan dana, urus niaga mata wang asing serta jual beli sekuriti.

Selain itu, ketidaktentuan keadaan ekonomi global dijangka menyekat perbelanjaan pelaburan oleh syarikat, serta mengehadkan kegiatan pemberian pinjaman. 

MTI turut meramalkan pertumbuhan firma pembayaran akan menyederhana, sejajar dengan kelembapan kegiatan perniagaan dan perbelanjaan pengguna yang rendah.

Mengambil kira faktor-faktor itu serta prestasi ekonomi Singapura pada suku pertama 2025, MTI memutuskan menurunkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara bagi 2025 kepada “0.0 hingga 2.0 peratus”.

MTI memaklumkan bahawa ia akan terus memantau perkembangan global dan dalam negara dengan teliti, dan jika perlu, menyemak unjuran itu.

Ekonomi Singapura mencatat pertumbuhan 3.8 peratus pada suku pertama 2025 daripada tempoh sama pada 2024. Namun, kadar ini lebih perlahan daripada ramalan pasaran.

Ahli ekonomi Bloomberg meramalkan pertumbuhan tahunan 4.7 peratus dan penguncupan suku tahunan 0.3 peratus setakat 8 April.

Dalam kenyataan menteri berhubung tarif Amerika pada 8 April, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura mungkin atau mungkin tidak mengalami kemelesetan ekonomi pada 2025, namun pertumbuhannya pasti akan terjejas dengan ketara.

Beliau menekankan bahawa dalam tempoh terdekat, pertumbuhan global dijangka lebih lemah, dan ini bermakna permintaan luar bagi barangan dan perkhidmatan Singapura akan turut berkurang.

Sektor yang bergantung pada eksport – seperti perkilangan, perdagangan borong dan pengangkutan – akan menanggung kesan paling teruk.

Pada 2 April, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan siri tarif meliputi semua negara, termasuk cukai 10 peratus terhadap Singapura.

Langkah itu sepatutnya dilaksana pada 9 April, tetapi Encik Trump mengumumkan penangguhan 90 hari bagi tarif tambahan itu.

Kebanyakan negara kini berhadapan dengan tarif 10 peratus terhadap eksport mereka ke Amerika, kecuali China, yang dikenakan tarif 145 peratus.

Sebagai respons, China menaikkan tarif ke atas barangan Amerika kepada 125 peratus, berkuat kuasa pada 12 April. Ia tarif timbal balik kali ketiga dalam perang perdagangan yang memuncak antara dua kuasa besar itu.

Pentadbiran Encik Trump kemudian mengecualikan barangan elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba daripada tarif timbal balik tersebut, yang bermakna barangan ini tidak akan dikenakan tarif pada kadar 145 peratus yang dikenakan ke atas China.

Namun, beberapa jam kemudian, pentadbiran itu menjelaskan barangan tersebut tidak dikecualikan sepenuhnya daripada cukai, kerana ia masih tertakluk pada tarif semikonduktor yang akan dikenakan cukai import dalam satu pusingan berasingan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg