Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama 60 tahun S’pura-Australia: Kesepakatan serantau, perkongsian sejagat

Kededua negara boleh kekalkan peranan sebagai sauh kestabilan, kemakmuran serantau; berpotensi jadi peneraju inovasi global untuk enam dekad mendatang
Oct 28, 2025 | 5:30 AM
Singapura, Australia, hubungan 60 tahun
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan rakan sejawatan dari Australia, Encik Anthony Albanese, di sidang media bersama yang diadakan di Rumah Parlimen di Canberra, Australia pada 8 Oktober. - Foto ST

Tahun 2025 merupakan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, sekali gus detik penuh bermakna dan masa untuk merenung tentang isu termasuk dasar luar negara.

Secara khusus, bagi para diplomat, ahli strategi, dan pemimpin perniagaan di Singapura mahupun Australia, Ogos membawa makna lebih mendalam: Genap enam dekad hubungan diplomatik rasmi antara kedua-dua negara.

Terjalin pada 18 Ogos 1965 – hanya sembilan hari selepas Singapura berpisah dari Malaysia – hubungan ini lahir daripada keperluan strategik dan kebijaksanaan geopolitik.

Sejak itu, ia berkembang menjadi salah satu bentuk kerjasama paling kukuh, pelbagai dimensi dan berwawasan jauh di rantau Indo-Pasifik – perkongsian yang terus memberi kesan melangkaui jangkaan.

Asas hubungan ini dibentuk oleh Perdana Menteri pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, bersama rakan sejawatannya dari Australia, Encik Harold Holt.

Mereka berkongsi pandangan bahawa keselamatan dan masa depan ekonomi Australia tidak dapat dipisahkan daripada kestabilan serta kemakmuran Asia Tenggara, dengan Singapura berperanan sebagai pintu masuk utama ke rantau ini.

Bagi Singapura pula, yang ketika itu masih muda, dikelilingi oleh jiran yang lebih besar dan tidak memiliki sumber asli, Australia dilihat sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai dalam bidang pertahanan, pendidikan, dan keselamatan makanan.

Keserasian awal ini membentuk asas kepada satu perkongsian yang berpandukan kepentingan bersama, bukan semata-mata atas dasar sentimen.

Tiga Tonggak Hubungan

Hari ini, hubungan Singapura – Australia berlandaskan tiga tonggak utama: Kerjasama pertahanan dan keselamatan yang mendalam; keterikatan ekonomi yang erat; serta hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh.

Dari sudut keselamatan, kerjasama ini bermula pada 1971 menerusi Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) – yang turut disertai Malaysia, New Zealand dan United Kingdom.

Salah satu komponen utama adalah penggunaan kawasan latihan ketenteraan di Australia oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Latihan seperti, Bersama Shield dan Exercise Trident, bukan sekadar rutin tahunan, bahkan lambang kepercayaan strategik dan keserasian operasi antara kedua-dua negara.

Dalam bidang ekonomi pula, Perjanjian Dagangan Bebas Singapura-Australia (Safta yang dimeterai pada 2003 dan ditambah baik melalui A-Safta pada 2020 telah melonjakkan nilai perdagangan dua hala melebihi AUD$26 bilion ($22 bilion) setahun.

Australia menjadi pembekal utama sumber asli dan produk pertanian, serta destinasi pelaburan yang stabil buat Singapura.

Sebagai timbal balik, Singapura berperanan sebagai hab kewangan serantau, pelabur Asean terbesar di Australia, dan platform strategik untuk syarikat Australia menembusi pasaran Asia.

Perjanjian Ekonomi Hijau (GEA) yang baru pula mencerminkan inovasi dalam kerjasama ekonomi ini – meletakkan kedua-dua negara sebagai peneraju dalam pembangunan peraturan, piawaian dan teknologi mampan.

Di luar kerjasama rasmi, hubungan antara rakyat turut menjadi jambatan penting.

Singapura kekal sebagai salah satu sumber utama pelajar antarabangsa di institusi pengajian tinggi Australia, manakala Australia terus menjadi destinasi pelancongan utama rakyat Singapura.

Diaspora warga Singapura yang besar di Australia serta masyarakat Australia yang kian berkembang di Singapura memperkasa pertukaran budaya, idea dan kepakaran secara berterusan.

Sahut Cabaran Abad ke-21

Memasuki dekad ketujuh, kerjasama ini berdepan landskap geopolitik paling mencabar dalam generasi ini.

Persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dengan China memberi tekanan tersendiri kepada Canberra dan Singapura.

Australia ialah sekutu rasmi Amerika Syarikat, manakala Singapura mengekalkan pendirian neutral yang berprinsip – menyokong tantangan serantau yang berasaskan peraturan tanpa dominasi mana-mana kuasa besar.

Perbezaan pendekatan ini sebenarnya satu kelebihan strategik.

Australia boleh menggunakan kedudukannya sebagai sekutu Amerika, manakala Singapura menyuarakan suara Asean dalam forum yang tidak disertai Australia.

Dengan pendekatan saling melengkapi, kedua-dua negara dapat mengelakkan perpecahan serantau dan menggalakkan penyelesaian ‘minilateral’ (kerjasama antarabangsa berskala kecil) yang lebih fleksibel dan berkesan dalam menangani cabaran sejagat.

Ancaman bukan tradisional seperti perubahan iklim, pandemik dan serangan siber turut membuka ruang baru untuk kerjasama.

GEA adalah langkah permulaan yang baik, namun tahap aspirasi perlu dipertingkat.

Pelaburan bersama dalam prasarana daya tahan iklim di Asia Tenggara dan Pasifik, sebagai contoh, bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan serantau, malah membuktikan komitmen kedua-dua negara terhadap penyediaan manfaat sejagat.

Lakar Usaha Enam Dekad Akan Datang

Bagi memastikan enam dekad mendatang kekal berjaya, beberapa langkah strategik perlu diberi keutamaan, seperti berikut.

Pertama sekali ialah untuk mempertingkat dialog strategik.

Salah satu cadangan adalah untuk memperluas format dialog kepada model 2+2 melibatkan menteri luar dan menteri pertahanan bagi menyelaras dasar keselamatan serantau dengan lebih berkesan.

Kedua, memperkasa GEA dengan projek nyata.

Sebagai cadangan, tumpukan perhatian kepada inisiatif seperti penubuhan dana modal teroka bersama untuk teknologi hijau di Asia Tenggara, serta projek perintis dalam mobiliti bandar lestari, tenaga boleh diperbaharui, dan penangkapan karbon. 

Ketiga, berusaha menerajui ekonomi digital secara sistematik dan kolaboratif.

Kedua-dua negara – Singapura dan Australia – yang merupakan ekonomi digital maju harus mempelopori pembangunan piawaian perdagangan digital dan aliran data yang selamat sebagai model untuk perjanjian ekonomi digital Indo-Pasifik.

Yang terakhir adalah untuk mengeratkan hubungan dua hala antara pendidikan dengan penyelidikan.

Contohnya, penubuhan pusat penyelidikan bersama dalam bidang penting seperti etika kecerdasan buatan (AI), sains marin, dan keselamatan kesihatan serantau akan mengukuhkan lagi keterikatan intelektual dan inovasi antara kedua-dua negara.

Kesimpulan

Hubungan Singapura – Australia yang mencecah usia 60 tahun adalah kisah kejayaan luar biasa.

Ia membuktikan bahawa dua negara berbeza dari segi saiz dan geografi mampu mencapai kesepaduan kepentingan serta komitmen jangka panjang.

Perkongsian ini mungkin tidak sering mendapat liputan utama, namun di situlah terletaknya kekuatannya – kukuh, mendalam, dan dibina atas asas saling menghormati serta faedah bersama.

Ketika rantau Indo-Pasifik memasuki era perubahan besar, hubungan ini menjadi semakin relevan.

Dengan pelaburan strategik dalam fasa baru, Singapura dan Australia bukan sahaja boleh mengekalkan peranan sebagai sauh kestabilan dan kemakmuran serantau, malah berpotensi menjadi peneraju inovasi sejagat untuk enam dekad yang akan datang dan seterusnya.

Penulis ialah Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan dengan Solaris Strategis Singapura.

“Australia ialah sekutu rasmi Amerika Syarikat, manakala Singapura mengekalkan pendirian neutral yang berprinsip – menyokong tantangan serantau yang berasaskan peraturan tanpa dominasi mana-mana kuasa besar. Perbezaan pendekatan ini sebenarnya satu kelebihan strategik. Australia boleh menggunakan kedudukannya sebagai sekutu Amerika, manakala Singapura menyuarakan suara Asean dalam forum yang tidak disertai Australia.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg