Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkilangan S’pura catat penguncupan lebih perlahan pada Mei

Jun 3, 2025 | 4:30 PM
perkilangan, PMI, ekonomi
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor elektronik Singapura – yang mencatat pertumbuhan selama 17 bulan berturut-turut sehingga Mac – menunjukkan penguncupan pada April dan Mei. - Foto ZAOBAO

Kegiatan keseluruhan sektor perkilangan Singapura menunjukkan peningkatan pada Mei, namun terus mencatat penguncupan. Ini menyusuli ketegangan perdagangan global yang semakin reda, meskipun prospek kekal tidak menentu.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Singapura mencatat bacaan 49.7 pada Mei, naik 0.1 mata berbanding April, menurut data Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) pada 2 Jun.

Ini menandakan penguncupan selama dua bulan berturut-turut, selepas tempoh pertumbuhan 19 bulan, lapor The Business Times (BT). 

Bacaan melebihi 50 menunjukkan pertumbuhan.

Pengarah eksekutif di SIPMM, Encik Stephen Poh, berkata penguncupan yang lebih perlahan itu mungkin berpunca daripada “ketegangan perdagangan yang semakin reda apabila dua ekonomi terbesar dunia mengurangkan tarif tinggi mereka”. 

Pada 12 Mei, Amerika Syarikat dan China bersetuju menarik balik sebahagian besar tarif yang dikenakan antara satu sama lain sejak ‘Hari Pembebasan’ di Amerika pada 2 April.

Seiring dengan penguncupan lebih perlahan di Singapura, data perkilangan China mencatatkan peningkatan, manakala data Universiti Michigan menunjukkan bahawa sentimen pengguna Amerika telah pulih pada Mei, menurut ahli ekonomi bersekutu UOB, Encik Jester Koh.

Peningkatan itu mungkin mencerminkan sedikit keyakinan pasaran menyusuli perjanjian sementara antara Amerika dengan China, katanya.

PMI sektor elektronik Singapura, yang mencatat pertumbuhan selama 17 bulan berturut-turut sehingga Mac, turut menunjukkan penguncupan pada April dan Mei. Indeks itu naik sedikit sebanyak 0.1 mata kepada 49.9 pada Mei.

Kenaikan kecil itu yang berlaku selepas lima bulan berturut-turut menunjukkan tanda-tanda kelemahan, mungkin berpunca daripada momentum pembelian awal yang masih berterusan, kata Encik Koh. 

Langkah itu mungkin diambil pembeli kerana mereka menjangkakan tarif lebih tinggi selepas penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari oleh Amerika, serta ancaman tarif pada sektor tertentu.

Namun, Encik Poh memberi amaran bahawa ketidaktentuan global masih berlarutan meskipun terdapat penangguhan sementara tarif itu, dengan gangguan rantaian bekalan yang kini lebih kerap dan sukar dijangka akibat perpecahan geopolitik.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, minggu lalu menuduh China melanggar perjanjian mereka, manakala jurucakap Kementerian Perdagangan China pada 2 Jun menuduh Washington telah menjejaskan perjanjian itu secara serius.

Tuduhan antara satu sama lain itu “menunjukkan cabaran besar dalam usaha mengurangkan ketegangan perdagangan yang berlarutan”, kata ahli ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng.

Ketidaktentuan yang berterusan terus mengancam perdagangan dan prospek pertumbuhan sejagat, sekali gus menyumbang kepada sentimen perniagaan yang lemah, termasuk dalam data PMI sektor perkilangan Singapura, tambah beliau.

Encik Chua menegaskan bahawa data tempatan terkini menunjukkan prospek yang “lebih lemah”, dengan peningkatan amat sedikit selepas kemerosotan mendadak pada April.

Encik Koh pula berkata, berbanding PMI keseluruhan, terdapat kesan yang “lebih membimbangkan” daripada indeks pekerjaan dan perniagaan masa depan yang kekal dalam keadaan penguncupan. 

Keadaan itu mungkin menunjukkan keprihatinan tentang prospek permintaan jangka sederhana, memandangkan rundingan perdagangan dijangka mengambil masa dan terdapat risiko ketegangan jika rundingan gagal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg