Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persatuan dagang kenderaan, presidennya dalam tikai guaman

May 27, 2025 | 3:21 PM
Persatuan Peniaga Kenderaan Singapura (SVTA) telah membawa Encik Neo Tiam Ting ke mahkamah untuk memohon pemilihan Exco ke-27 pada Jun 2024 diisytiharkan tidak sah.
Persatuan Peniaga Kenderaan Singapura (SVTA) telah membawa Encik Neo Tiam Ting ke mahkamah untuk memohon pemilihan Exco ke-27 pada Jun 2024 diisytiharkan tidak sah. - Foto Fail ST

Persatuan pedagang kenderaan terbesar Singapura dan presidennya kini berperang di Mahkamah Tinggi mengenai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) akan datang.

Persatuan Peniaga Kenderaan Singapura (SVTA) telah mengheret Encik Neo Tiam Ting ke mahkamah untuk memohon agar pemilihan Exco ke-27 mereka pada Jun 2024 diisytiharkan batal dan tidak sah.

“Pertikaian antara kededua pihak ini pada asasnya adalah pertikaian politik,” kata Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Vinodh Coomaraswamy, dalam keputusan yang dikeluarkan pada 23 Mei, lapor The Straits Times (ST).

SVTA, yang terdiri daripada hampir 400 pedagang kenderaan terpakai, ditubuhkan pada 1972.

Encik Neo dipilih sebagai Presiden SVTA pada 2022 dan dipilih semula pada 2024 untuk penggal kedua selama dua tahun. Beliau juga pernah menjadi Presiden persatuan itu dari 2011 hingga 2015.

Dalam penghakimannya pada 23 Mei, Hakim Vinodh memutuskan bahawa pemilihan Exco ke-27 pada Jun 2024 itu “tidak mempunyai kesan undang-undang dan oleh itu adalah batal dan tidak sah”.

Encik Neo telah membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pertikaian itu berpunca daripada perbezaan pandangan mengenai siapa yang boleh mewakili ahli SVTA untuk mengundi dalam mesyuarat umum dan pemilihan Exco. 

SVTA berpendapat hanya pengarah atau rakan kongsi yang boleh mewakili ahli, manakala Encik Neo berpendapat sesiapa sahaja boleh dilantik, tanpa mengira status pengarah atau rakan kongsi.

“Jika mengikut pandangan lebih luas, seorang individu dibolehkan mengundi sebagai wakil bagi beberapa ahli dalam mesyuarat umum,” kata Hakim Vinodh.

Pandangan yang lebih sempit menghalang seseorang daripada mewakili lebih daripada satu anggota, kecuali jika beliau pengarah atau rakan kongsi bagi setiap ahli yang melantiknya, kata hakim itu.

Encik Neo adalah pengarah kepada lima ahli SVTA.

SVTA telah mengadakan dua mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pemilihan pada Mei dan Jun 2024.

Pemilihan pertama diadakan mengikut pandangan sempit persatuan itu, manakala yang kedua mengikut pandangan luas Encik Neo.

Hakim Vinodh mendapati keputusan kedua-dua pemilihan tersebut adalah “batal dan tidak sah”.

Pada April 2024, Exco yang akan keluar telah mengatur Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dengan pemilihan pada 6 Mei 2024.

Pemberitahuan mesyuarat menyatakan bahawa undian akan mengikut pandangan terbatas, di mana hanya pengarah atau rakan kongsi syarikat ahli dibenarkan mengundi.

Encik Neo membantah pandangan sempit itu, yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan SVTA.

Beliau berpendapat Perlembagaan itu menyokong pandangan luas dan Exco tiada kuasa mengubahnya.

Pada AGM 6 Mei, meskipun wujud bantahan Encik Neo, isu pandangan sempit atau luas itu telah diundi oleh ahli, dan kebanyakannya memilih untuk berpihak pada pandangan sempit.

Encik Neo kemudian menggantung AGM itu, namun Exco itu mengabaikannya dan mengumumkan 19 calon baru.

Hakim Vinodh memutuskan bahawa keputusan pemilihan pada Mei itu tidak sah kerana mesyuarat diteruskan walaupun Encik Neo telah menggantungkan AGM dan meninggalkan mesyuarat itu.

Encik Neo memberitahu ahli SVTA bahawa pemilihan yang dibuat pada Mei tidak sah dan mengumumkan AGM baru pada 6 Jun mengikut pandangan lebih meluas.

Namun, Hakim Vinodh memutuskan ia tidak sah kerana Encik Neo tidak menetapkan tarikh untuk menyambung semula AGM yang digantung.

Hakim juga berkata hanya Setiausaha Kehormat yang boleh memanggil AGM, menjadikan pemilihan yang diadakan pada Jun itu tidak sah. Walaupun SVTA tidak memohon keputusan mengenai pemilihan pada Mei itu, Hakim itu perlu mempertimbangkannya sebelum memutuskan pemilihan pada Jun.

Beliau berharap pihak yang terbabit dapat mengadakan AGM semula dan menjalankan pemilihan mengikut tafsiran Perlembagaan yang betul.

Hakim menambah bahawa penggunaan pandangan sempit sebelum ini tidak memberikan kuasa mengikat kepada peraturan-peraturan itu.

“Malangnya, bukannya pemilihan, kini ada rayuan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg