Skim Menangani Pengeluaran Asap Kenderaan Perdagangan (CVES), yang menggalakkan kenderaan komersial ringan menggunakan tenaga bersih di Singapura, akan dilanjutkan dua tahun lagi sehingga 31 Mac 2027, dengan insentif bagi kenderaan elektrik (EV) dalam Kategori A dikekalkan pada $15,000.
Namun, insentif sejumlah $5,000 bagi Kategori B – yang terdiri daripada kenderaan petrol – akan ditiadakan.
Surcaj bagi kategori kenderaan paling banyak pencemaran di bawah Kategori C, kebanyakannya terdiri daripada kenderaan komersial berkuasa diesel, akan dinaikkan daripada $15,000 kepada $20,000, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 30 Disember.
Menurut laporan The Straits Times (ST), skim tersebut dilanjutkan sehingga akhir Mac 2025 sebelum ini.
NEA dan LTA berkata dalam satu kenyataan bahawa Skim Penggantian Awal Kenderaan (ETS) bagi kenderaan komersial berat – bertujuan menggalakkan pemilik kenderaan dan bas lama yang menggunakan diesel agar beralih kepada kenderaan baru yang lebih mesra alam – juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025, dan akan dihentikan selepas itu.
Diperkenalkan pada 2021, CVES dikenakan kepada semua kenderaan komersial ringan yang baru dan terpakai yang diimport – seperti kenderaan barangan ringan dan bas kecil yang tidak melebihi 3,500 kilogram dalam berat muatan maksimum – dan mengklasifikasikan kenderaan itu mengikut kategori berdasarkan tahap pencemaran mereka.
Pembeli kenderaan sedemikian kemudian diberi insentif, atau tertakluk kepada surcaj, berdasarkan kategori kenderaan mereka.
Pihak berkuasa berkata perubahan terkini itu selaras dengan wawasan pemerintah untuk mempunyai semua kenderaan berpandukan tenaga lebih bersih menjelang 2040.
LTA dan NEA memberitahu bahawa pada masa ini, terdapat lebih banyak kenderaan komersial ringan dalam Kategori A di pasaran, berbanding semasa skim itu diperkenalkan pada 2021.
Sebagai kenderaan yang paling tidak mempunyai pencemaran, kenderaan dalam kategori itu mempunyai jumlah kos pemilikan yang paling rendah sepanjang hayat mereka, kata NEA dan LTA.
Berdasarkan anggaran yang ada bagi model kenderaan terkenal pada Disember 2024, jumlah kos pemilikan selepas 10 tahun bagi kenderaan Kategori A adalah $123,300, selepas mengambil kira insentif CVES.
Model kenderaan yang tergolong dalam kategori itu termasuk van elektrik BYD T3, Citroen E-Berlingo dan Mercedes e-Vito.
Jumlah kos pemilikan bagi kenderaan Kategori B adalah lebih tinggi, iaitu $147,500, manakala kenderaan diesel dalam Kategori C berjumlah $170,900 disebabkan surcaj CVES.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg