Lebih 10 peratus kenderaan berat yang ditahan Polis Trafik (TP) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) di jalanan dalam satu operasi pemeriksaan penguatkuasaan, antara 5 dengan 7 Mei, didapati beroperasi tanpa label pengehad kelajuan.
Jumlah ini menimbulkan kebimbangan memandangkan alat pengehad kelajuan dianggap satu kaedah penting dalam memastikan kenderaan berat tidak bergerak dengan melampaui had batas sebanyak 60 kilometer sejam, kata Pasukan Polis Singapura (SPF), dalam satu kenyataan pada 8 Mei.
Langkah memasang alat pengehad kelajuan ini sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan berkaitan kelajuan di samping mengurangkan akibat yang tidak diingini.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 192 kenderaan berat dihentikan bagi pemeriksaan dalam operasi bersama TP dan LTA ini, sepanjang tiga hari berkenaan.
Sebelum ini, pihak berkuasa telah mengumumkan ketetapan agar semua lori melebihi berat muatan maksimum (MLW), antara 3,500 dengan 12,000 kilogram, perlu dilengkapi dengan alat pengehad kelajuan mulai 1 Januari 2024.
Alat ini memastikan lori-lori tersebut tidak melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 60 kilometer sejam.
Pengehad kelajuan hanya boleh dipasang oleh Ejen Bertauliah, yang disahkan di bawah senarai TP.
Pemandu lori juga dikehendaki memaparkan label khas di bahagian kanan dan atas cermin depan kenderaan, yang boleh dilihat dengan jelas dari luar.
Label ini harus mengandungi maklumat seperti jenis alat had laju yang dipasang, kelajuan yang telah ditetapkan dalam kilometer sejam (km/j), tarikh alat tersebut dipasang, nombor pemeteraian, nama individu yang melakukan pemasangan, nombor pendaftaran kenderaan, kekerapan ‘nadi kelajuan’ kenderaan, serta saiz tayar kenderaan berkenaan.
‘Nadi kelajuan’ yang dimaksudkan ini adalah kaedah mengukur kelajuan kenderaan dengan menggunakan siri denyutan nadi, biasanya dalam sistem elektrik atau mekanikal. Ia boleh digunakan bagi mengira jarak perjalanan, kelajuan kenderaan atau kelajuan berputar.
Pemandu kenderaan berat yang tidak memaparkan label pengehad kelajuan pada cermin hadapan boleh dikenakan denda hingga $1,000, penjara hingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Mengulas tentang hasil operasi pada hari terakhir (7 Mei) yang dijalankan di kawasan Tuas, Timbalan Pegawai Bertanggungjawab Bagi Pasukan Operasi Khas, Timbalan Superintenden Polis Norhidawati Ahmad, menekankan:
“Alat pengehad kelajuan adalah wajib bagi kenderaan berat untuk memastikan pemandu kenderaan berkenaan mematuhi had laju dan melindungi nyawa di jalan raya kita.
“Polis Trafik akan terus menguatkuasa undang-undang terhadap pemandu kenderaan yang memandu dengan laju dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” tambah beliau.
Sebanyak 87 saman juga dikeluarkan semasa operasi tersebut atas pelbagai kesalahan.
Ini termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memandu di lorong kiri dan gagal mengikat muatan kenderaan menggunakan tali.
Kesalahan memandu laju boleh dikenakan denda hingga $1,000, penjara hingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang boleh didenda hingga $2,000, dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu juga boleh didenda hingga $1,000, dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, pesalah berulang boleh didenda hingga $2,000, dipenjara hingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg