Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertumbuhan ekonomi S’pura atasi jangkaan, tapi diancam konflik Timur Tengah
Pertumbuhan ekonomi S’pura atasi jangkaan, tapi diancam konflik Timur Tengah
MTI: Kejutan positif ekonomi pada suku pertama lepasi jangkaan awal
Pertumbuhan ekonomi S’pura atasi jangkaan, tapi diancam konflik Timur Tengah
Singapura kekal teguh dengan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 pada 2-4 peratus meskipun bayangan risiko kemelesetan akibat konflik Iran kian menebal.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjelaskan, walaupun prospek keseluruhan tahun ini dijangka suram, kejutan positif pada suku pertama telah melepasi jangkaan awal.
Ekonomi Singapura melonjak enam peratus tahun ke tahun pada Suku Pertama 2026, menyambung rentak 5.7 peratus suku sebelumnya. Angka ini jauh mengatasi ramalan awal MTI 4.6 peratus yang diumumkan April lalu.
Ramai penganalisis meramalkan Singapura akan menyemak semula unjuran pertumbuhannya ke bawah.
Jika momentum perlahan, prospek gaji dan pekerjaan akan terhakis, memaksa perniagaan mengekang perbelanjaan akibat lonjakan kos bahan mentah dan tenaga.
Namun begitu, kadar pertumbuhan untuk tahun ini tetap dijangka tidak mencapai paras 5 peratus yang dicatatkan pada 2025.
MTI, dalam tinjauan suku pertamanya, menggariskan bahawa pertumbuhan ini disokong oleh kekuatan sektor utama seperti perdagangan borong, pembuatan, kewangan dan insurans.
Permintaan Kecerdasan Buatan (AI) yang menggebu menjadi pemangkin utama, melonjakkan segmen jentera, peralatan dan bekalan dalam perdagangan borong, selain kluster elektronik dan kejuruteraan jitu dalam sektor pembuatan.
Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi mengembang 1 peratus pada tiga bulan pertama 2026, perlahan sedikit berbanding 1.3 peratus pada suku sebelumnya, tetapi mengatasi penguncupan 0.3 peratus yang dianggarkan April.
Namun, kemelut perang di Timur Tengah telah menaikkan harga minyak mentah dan produk petroleum secara mendadak, lantas mencetuskan penguncupan dalam segmen bahan api dan kimia (sektor perdagangan borong dan pembuatan).
Sejak konflik meletus, harga minyak melambung tinggi dan rantaian bekalan dunia kucar-kacir.
Penutupan Selat Hormuz – laluan 20 peratus bekalan minyak global – menjadi ancaman, merencatkan prospek ekonomi berasaskan perdagangan di seluruh Asia, termasuk Singapura.
Konflik di Timur Tengah bukan sahaja menjejas prospek ekonomi global, tetapi turut menggugat bekalan tenaga dan bahan asas seperti baja dan aluminium.
MTI menegaskan, gelombang inflasi yang memuncak ini dijangka “menghakis pendapatan sebenar, melemahkan kuasa beli dan menggugat kestabilan kewangan global”.
Dr Beh Swan Gin, Setiausaha Tetap MTI, memberi amaran dalam taklimat media bahawa “gangguan bekalan berpanjangan dari konflik Timur Tengah berupaya melonjakkan harga tenaga dan kos pengeluaran, seterusnya membantutkan pertumbuhan global secara mendadak”.
Beliau turut menyenarai risiko lain – peningkatan semula tarif Amerika Syarikat dan kemerosotan ketara dalam perbelanjaan modal global berkaitan Kecerdasan Buatan (AI).
Mengulas tentang prospek pemulihan pascakonflik, Dr Beh menjelaskan, sungguhpun penyelesaian akan menyuntik sentimen positif kepada pasaran, kemudahan gas mentah dan asli di Timur Tengah memerlukan masa untuk beroperasi semula.
“Kami menjangkakan kekurangan bekalan akan berterusan dan mencetuskan tekanan inflasi... ini akan berlanjutan selama beberapa bulan sekalipun persetujuan damai dicapai,” tegas beliau.
