Membenarkan semua pemegang Pelan Perlindungan Bersepadu (IP) menukar penanggung insurans secara bebas bukanlah huraian yang tepat berhubung isu yang mereka hadapi, kerana ia mungkin membawa kepada bayaran premium dan kos penjagaan kesihatan lebih tinggi, kata Menteri Negara (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
“MOH tidak percaya bahawa memberi mandat mudah alih penuh bagi IP adalah huraian tepat berhubung isu yang dihadapi pemegang polisi,” katanya di Parlimen pada 12 November.
Memberikan maklumat terkini mengenai kajian Kementerian Kesihatan untuk menilai kebolehlaksanaan IP mudah alih, beliau berkata ia bukanlah amalan terbaik antarabangsa untuk insurans kesihatan peribadi tambahan dan komersial dijadikan mudah alih sepenuhnya, lapor The Straits Times.
Amalan biasa ialah penanggung insurans membuat polisi jaminan perlindungan atau ‘underwrite’ baru untuk menetapkan harga risiko menerima lebih ramai pemegang polisi dengan syarat sedia ada ke dalam kumpulan risiko mereka.
Polisi jaminan perlindungan boleh menyebabkan penanggung insurans mengenakan syarat tambahan ke atas perlindungan pemegang polisi, seperti tempoh menunggu dengan tiada tuntutan akan dibayar atau pengecualian kepada perlindungan berkenaan.
Pemegang polisi juga mungkin perlu membayar premium lebih tinggi memandangkan risiko lebih tinggi, kata Cik Rahayu.
“Di peringkat nasional, ini semua akan... menyumbang kepada kos lebih tinggi, dan di sinilah kebimbangan kementerian... Kami sentiasa bimbang bahawa dasar swasta ini tidak mampan.
“Itulah perkara utama yang perlu kita lihat, kerana perubahan terma merupakan petanda perkara ini berlaku,” katanya menjawab soalan Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) mengenai kemudahalihan IP.
Cik Rahayu berkata syarikat insurans IP perlu memikirkan semula dan memperbarui reka bentuk asas skim mereka.
“Ia bukan tentang meningkatkan pembayaran untuk mendapatkan bahagian pasaran, dan apabila langkah itu tidak berhasil, maka mereka menyesuaikan syarat. Jadi itulah perkara yang cuba ditangani oleh Menteri Kesihatan, dan itulah sebabnya kami menggesa supaya dasar sistem itu direka bentuk semula,” tambahnya.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada April telah berkata kajian kebolehlaksanaan mengenai sama ada insurans IP perlu dibuat mudah alih sepenuhnya, yang diumumkan kali pertama pada 2021, boleh diselesaikan pada 2024.
Sesetengah pemegang polisi ingin menukar penanggung insurans untuk premium yang lebih kompetitif atau faedah yang lebih baik seperti akses kepada lebih ramai doktor panel.
Manakala yang lain, ingin berbuat demikian kerana mereka mendapati sukar untuk membayar premium IP mereka apabila mereka semakin tua.
Bagaimanapun, mereka perlu menjalani satu lagi pusingan penaja jaminan dan mungkin tidak dapat mengekalkan perlindungan yang telah mereka miliki, atau mereka perlu membayar lebih premium.
Cik Rahayu berkata bagi negara yang menjamin mudah alih sepenuhnya dengan pemegang polisi boleh menukar penanggung insurans tanpa penaja jaminan, ia biasanya merupakan ciri yang terhad kepada insurans kesihatan nasional wajib mereka.
Sebagai contoh, dalam kes di Belanda atau Switzerland, perlindungan sejagat diberi mandat tetapi ditadbir oleh penanggung insurans swasta.
Oleh itu, mereka dikehendaki menerima mana-mana pemohon, termasuk mereka yang bertukar daripada syarikat insurans lain.
Ini memberi gambaran bahawa insurans komersial adalah mudah alih, tetapi sebenarnya tidak, kerana hanya perlindungan asas di bawah skim insurans kesihatan nasional sejagat adalah mudah alih sepenuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg