Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta jualan tahunan China gagal tarik pembeli dek masalah ekonomi

Oct 23, 2024 | 3:37 PM
Orang ramai berdiri berhampiran sepanduk bagi pesta beli-belah ‘Singles’ Day’ di ibu pejabat JD.com di Beijing.
Orang ramai berdiri berhampiran sepanduk bagi pesta beli-belah ‘Singles’ Day’ di ibu pejabat JD.com di Beijing. - Foto REUTERS

SHANGHAI: Acara beli-belah terbesar di China sedang berlangsung tetapi kebanyakan peniaga dan penganalisis runcit menjangka pertumbuhan jualan tidak berubah atau, paling baik, suam sahaja.

Ini kerana pengguna masih murung dek masalah ekonomi negara itu.

Ekstravaganza beli-belah Singles’ Day, yang bermula separuh kedua Oktober, telah berubah daripada satu acara Alibaba yang bertujuan memujuk orang bujang untuk memanjakan diri mereka kepada pesta berminggu-minggu yang memuncak pada 11 November di semua platform e-dagang utama China serta kedai.

Penjual perabot, Encik Wu Qian, berkata beliau mendaftar di JD.com kali ini kerana ia peluang untuk menghabiskan stok dan mungkin mengaut keuntungan kecil.

Tetapi beliau tidak menjangka acara itu menunjukkan pertumbuhan jualan keseluruhan.

“Pengguna tidak lagi menunggu perayaan beli-belah untuk membeli sesuatu,” katanya kepada Reuters, sambil menambah bahawa kepelbagaian dalam platform e-dagang China bermakna mereka mempunyai pelbagai pilihan sepanjang tahun.

Sektor hartanah yang dalam krisis, ketegangan perdagangan dan tindakan keras kawal selia ke atas beberapa perusahaan semuanya memainkan peranan dalam pertumbuhan lembap dan tersekat-sekat untuk ekonomi kedua terbesar dunia itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengakibatkan kebanyakan rakyat China bimbang tentang pekerjaan mereka.

Pada akhir September, Beijing menggariskan langkah-langkah rangsangan untuk menyokong ekonomi tetapi masih banyak yang belum diperincikan, apatah lagi memberi kesan kepada keyakinan pengguna dengan ketara.

Pada 2023, jualan terkumpul nilai dagangan kasar (GMV) merentas platform e-dagang utama meningkat 2 peratus kepada 1.14 trilion yuan ($210.7 bilion), menurut anggaran penyedia data Syntun.

Itu jauh berbeza daripada pertumbuhan dua angka yang pernah menjadi kebiasaan.

“Semuanya agak sunyi sekarang,” kata pakar e-dagang bebas, Encik Lu Zhengwang.

“Pembekal menjadi lebih rasional, yang penting dikejar bukan GMV tetapi keuntungan. Bagaimanapun, keuntungan sukar dicapai, persaingan masih sangat sengit, dan hanya barang lebih murah yang laris,” tambahnya.

Diskaun besar telah menjadi ciri utama e-dagang di China sepanjang dua tahun lepas, sedang Alibaba dan JD.com menangkis persaingan daripada pesaing berharga rendah seperti Pinduoduo milik PDD, lantas memerah keuntungan daripada beribu-ribu perniagaan kecil.

Pada Singles’ Day ini, ada tanda bahawa tekanan telah berkurangan dengan cabang e-dagang domestik Alibaba mengumumkan pelbagai dasar mesra pedagang.

JD.com dan PDD juga menarik perhatian kepada beberapa daya utama menyokong pedagang.

“Saya rasa platform kini faham bahawa memberi tekanan kepada jenama untuk menurunkan harga bermakna mereka tidak mempunyai wang untuk meletak iklan,” kata Encik Jacob Cooke, ketua eksekutif perundingan e-dagang WPIC Marketing + Technologies.

Cik Zheng Li, 46 tahun, berkata beliau pernah menganggap Hari Bujang sesuatu yang sangat serius dan akan merebut tawaran untuk pakaian dan barangan harian, tetapi beliau tidak melakukannya lagi.

“Tahun ini, saya benar-benar tidak ada inspirasi,” katanya. “Mungkin saya akan membeli jaket musim sejuk untuk anak saya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg