Dengan kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat kini kian hangat, Washington dan Beijing harus mengambil langkah mengelakkan ketegangan sedia ada daripada terus meningkat.
Ini walaupun kededua negara itu mungkin tidak bersetuju dalam banyak bidang bagi kerjasama jangka panjang, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dalam satu acara SPH Media pada 3 September.
Bercakap dalam sesi Dialog Lianhe Zaobao di Sidang Puncak Masa Depan Asia 2024 anjuran SPH Media, Encik Heng berkata:
“Adakah mungkin kededua pihak mencari titik persamaan dan memupuk hubungan saling menguntungkan di tengah-tengah persaingan? Saya percaya jawapannya ialah ya.”
Menurut beliau, dengan kempen menjelang pilihan raya Amerika pada November semakin hangat, calon Parti Demokrat dan Parti Republikan mungkin menuding ke arah China.
“Oleh itu, mengekalkan satu mekanisme dialog terbuka dan terus membina matlamat strategik adalah satu cara penting untuk meredakan ketegangan dan mendapatkan kerjasama,” katanya.
Encik Heng berkata beliau menaruh harapan dengan pertemuan antara pemimpin dari China dengan Amerika yang diakhiri dengan lawatan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Jake Sullivan, ke Beijing pada Ogos.
Beliau menambah bahawa calon pilihan raya presiden Amerika mungkin terdorong menimbulkan kemarahan pengundi dengan menonjolkan apa yang mereka lihat sebagai amalan perdagangan tidak adil.
Mereka juga mungkin melaksanakan langkah perlindungan perdagangan selepas dipilih, tambahnya.
Jika sengketa perdagangan membawa kepada konflik ketenteraan antara dua negara nuklear itu, ia akan menjadi satu “malapetaka untuk seluruh dunia”, katanya.
Encik Heng menyatakan kededua negara itu mahukan perkara yang sama, iaitu untuk negara dan rakyat mereka hidup makmur, dan turut berusaha meningkatkan ekonomi masing-masing.
Beliau menggesa Amerika supaya yakin dengan ekonominya kerana ia mempunyai masyarakat sivil yang bertenaga, keupayaan mendalam untuk berinovasi, pasaran kewangan maju, dan kebolehan menarik bakat di seluruh dunia, lapor The Straits Times (ST).
Namun, beliau mencadangkan agar Amerika memastikan hasil pertumbuhannya dinikmati lebih ramai penduduknya untuk menyokong globalisasi dari segi ekonomi.
Encik Heng juga berharap China dapat merangsang pembaharuan ekonomi untuk mengecilkan jurang pendapatan negara itu, di samping menggalak pembangunan ekonomi bermutu tinggi.
Selain itu, China boleh memberi lebih perhatian kepada usaha melatih bakat saintifik dan teknologi untuk menjalankan penyelidikan lanjut dalam bidang seperti tenaga suria dan kenderaan elektrik (EV).
“Setiap ekonomi, terutama ekonomi maju, mesti sentiasa menyusun semula dan mengubah diri dalam menghadapi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang pesat membangun.
“Ini adalah asas bagi perdagangan saling menguntungkan,” ujar beliau.
Encik Heng turut menggesa Amerika dan China – dua ekonomi terbesar dunia yang secara bersama menghasilkan 43 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia – agar bekerjasama bagi menangani pelbagai cabaran sedunia seperti perubahan iklim dan penyakit berjangkit.
“Terdapat banyak ruang untuk menjalin kerjasama walaupun China dan Amerika terus bersaing,” katanya.
“
“Oleh itu, mengekalkan satu mekanisme dialog terbuka dan terus membina matlamat strategik adalah satu cara penting untuk meredakan ketegangan dan mendapatkan kerjasama.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg