Pengarah City Developments Limited (CDL), Encik Philip Yeo, akan melepaskan jawatannya dalam lembaga CDL, salah satu syarikat hartanah terbesar di Singapura.
Ini selepas berlaku satu perselisihan dalam keluarga jutawan dan Pengerusi Eksekutif CDL, Encik Kwek Leng Beng, menyebabkan perpecahan dalam kalangan anggota lembaga syarikat tersebut baru-baru ini.
Encik Yeo, 78 tahun, bekas penjawat awam tertinggi yang telah berkhidmat dalam lembaga CDL selama 16 tahun, sudah pun memberikan notis persaraannya.
Hari terakhir perkhidmatannya ialah 31 Julai, menurut satu kenyataan syarikat itu pada 15 Julai.
Notis persaraan Encik Yeo sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif di syarikat itu, dibuat selepas beberapa bulan yang sukar bagi keluarga Encik Kwek – antara keluarga terkaya di Singapura.
Pada Februari 2025, Encik Kwek Leng Beng, yang berusia 80-an tahun, menuduh anaknya, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Encik Sherman Kwek, cuba merancang satu rampasan kuasa dalam lembaga pengarah.
Namun, Encik Sherman Kwek menafikan dakwaan tersebut.
Encik Kwek Leng Beng, Encik Yeo dan dua lagi pengarah bebas CDL memfailkan saman terhadap Encik Sherman Kwek dan sebilangan besar anggota lembaga yang lain pada Februari.
Bagaimanapun, Encik Kwek Leng Beng kemudian menarik balik saman terhadap anaknya pada pertengahan Mac, selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai.
Namun, ketegangan masih wujud dalam kalangan anggota lembaga syarikat tersebut.
Semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) CDL pada April, Encik Yeo melahirkan rasa “amat kecewa” terhadap tindakan beberapa anggota lembaga yang tetap meneruskan pelantikan pengarah baru pada awal 2025, dan menyifatkan tindakan mereka sebagai “amat tidak wajar”, menurut laporan Bloomberg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg