Dua pengarah baru City Developments Limited (CDL), telah mengambil komitmen untuk tidak menggunakan sebarang kuasa dalam peranan mereka sehingga mendapat arahan lanjut daripada mahkamah Singapura, kata pengerusi eksekutif, Encik Kwek Leng Beng.
Mereka berdua menjadi antara punca perselisihan antara Encik Kwek Leng Beng dan anaknya, ketua eksekutif kumpulan tersebut, Encik Sherman Kwek.
Dua pengarah itu ialah Cik Jennifer Duong Young dan Cik Wong Su-Yen. Lembaga CDL meluluskan pelantikan mereka sebagai pengarah bukan eksekutif bebas pada 7 Februari, satu langkah yang dipersoalkan Encik Kwek Leng Beng.
“Kesalahan serius tadbir urus korporat di CDL, bersama dengan anak syarikatnya, kini telah dihentikan,” kata Encik Kwek Leng Beng dalam satu kenyataan hampir tengah malam pada 26 Februari.
Cik Young, seorang akauntan melalui latihan, mempunyai pengalaman lebih dua dekad di bank Swiss Credit Suisse, manakala Cik Wong telah memegang peranan tadbir urus korporat, termasuk di Institut Pengarah Singapura.
Encik Kwek Leng Beng mengeluarkan kemas kini itu selepas perbicaraan tertutup di Mahkamah Tinggi pada 26 Februari.
Dalam kes itu, beliau membawa anaknya, Encik Sherman Kwek, anggota lembaga pengarah, Encik Philip Lee Jee Cheng dan Cik Wong Ai Ai serta beberapa pengarah lain ke mahkamah atas “cubaan rampasan kuasa” untuk didakwa menyatukan kawalan lembaga CDL.
Beliau juga mendakwa bahawa kumpulan Encik Sherman Kwek telah memintas jawatankuasa pencalonan sebanyak dua kali untuk menukar komposisi lembaga pengarah, dan tergesa-gesa membuat susulan dengan membuat perubahan ketara kepada jawatankuasa lembaga pengarah dan tadbir urus CDL.
“Kededua pengarah baru itu, yang dilantik pada 7 Februari secara tergesa-gesa tanpa mengikut prosedur melalui resolusi bertulis pengarah, telah berjanji untuk tidak menggunakan sebarang kuasa sebagai pengarah sehingga notis lanjut mahkamah,” kata Encik Kwek Leng Beng dalam kenyataan itu, memberi maklumat terkini semasa pendengaran Mahkamah Tinggi.
“(Encik) Sherman Kwek, (Encik) Philip Lee, (Cik) Wong Ai Ai dan pengarah lain yang bertindak bersama mereka, telah berikrar untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung percubaan mereka menukar jawatankuasa lembaga pengarah dan pengurusan anak syarikat CDL tertentu, sehingga notis lanjut (pihak) mahkamah,” tambahnya.
Beliau berkata, jawatankuasa pencalonan dan imbuhan yang dibentuk tidak mengikut prosedur, yang bertanggungjawab menyelia proses pelantikan serta menetapkan dasar imbuhan bagi anggota lembaga eksekutif, telah digantung daripada mengambil tindakan selanjutnya.
“Jawatankuasa lembaga dan pengurusan anak syarikat yang berkaitan kini terlindung daripada cubaan selanjutnya untuk mengganggu, membubarkan atau membentuk semula mereka.
“Lembaga dan pengurusan anak syarikat ini kini akan dapat berfungsi secara biasa dan tanpa campur tangan yang tidak wajar, sebagaimana mereka dalam cubaan rampasan kuasa sebelum ini,” kata Encik Kwek.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat The Straits Times (ST) pada 26 Februari, CDL dan Encik Kwek, bersama tiga pengarah lembaga, Encik Philip Yeo, Encik Colin Ong dan Encik Chong Yoon Chou, memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menghalang Encik Lee dan Cik Wong daripada menggunakan kuasa mereka sebagai pengarah CDL.
Lima pemohon itu turut menamakan ketua pegawai eksekutif (CEO), Encik Sherman Kwek; dan pengarah lembaga Cik Chan Swee Liang Carolina; Cik Desbaillets Daniel Marie Ghislain; Cik Wong Su-Yen dan Cik Young sebagai responden dalam saman itu, bersama Encik Lee dan Cik Wong.
Lima pemohon tersebut diwakili pasukan guaman dari LVM Law Chambers, yang diketuai Peguam Kanan, Encik Lok Vi Ming.
Pada petang 26 Februari, ketika perbicaraan Mahkamah Tinggi diadakan secara tertutup, tujuh responden itu tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg