SEOUL: Hyundai Motor mempamerkan robot manusia (humanoid) miliknya, Atlas, pada kejohanan Piala Dunia Fifa 2026, bagi menonjolkan kemajuan teknikal syarikat itu di pentas bola sepak terbesar dunia.

Langkah ini diambil ketika pengeluar automotif Korea Selatan itu bersiap sedia bagi pengeluaran besar-besaran dan penggunaan di kilang.

Semasa perlawanan pusingan 16 terakhir antara Brazil dengan Norway di Stadium New York New Jersey pada 5 Julai, Atlas – yang dibangunkan oleh unit Boston Dynamics milik Hyundai – berjalan melalui terowong pemain dan mempersembahkan beberapa gaya meraikan gol.

Ini termasuk gaya ikonik ‘meluncur ombak’ oleh penyerang Brazil, Matheus Cunha, serta isyarat ‘menangkap gambar’ bintang Korea Selatan, Son Heung-min, sebelum menyerahkan bola perlawanan kepada pengadil.

Kemunculan itu merupakan pertunjukan awam secara langsung pertama yang dilakukan robot berkenaan sejak versi sedia untuk fasa pengeluaran didedahkan di pertunjukan teknologi, Pameran Elektronik Pengguna (CES), di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, pada Januari lalu (2026).

Hyundai merancang untuk mengeluarkan sehingga 30,000 robot manusia setiap tahun di Amerika Syarikat mulai 2028, terutamanya untuk kegunaan di kilang-kilang di Georgia.

Persembahan itu juga merupakan kemuncak kepada kempen ‘School of Football’ syarikat berkenaan, iaitu siri video yang memperincikan bagaimana Atlas mempelajari pergerakan olahraga yang rumit. 

Ini termasuk ‘Ghost Rabona’, sejenis teknik sepakan helah untuk memperdaya penjaga gawang, yang pernah ditonjolkan legenda Brazil, Pele dan legenda Argentina, Diego Maradona.

Hyundai telah menaja kejohanan itu sejak 1999 dan merupakan rakan kongsi robotik rasmi Fifa untuk edisi tahun ini (2026).

Menurut Hyundai, kempen tersebut bertujuan menunjukkan teknologi robotik canggih kini mampu melangkah keluar daripada persekitaran makmal terkawal, sekali gus membolehkan robot manusia melaksanakan tugas rumit sambil menyesuaikan diri dengan persekitaran tidak menentu.

Ujian terhadap Atlas di stadium terbuka memberi data kejuruteraan kritikal yang relevan bagi pengerahan akan datang di kilang.

Sebagai contoh, operasi di atas permukaan rumput memaksa robot tersebut mengendalikan pelbagai faktor luaran seperti tahap kelembutan permukaan dan risiko tergelincir, yang tidak wujud di atas lantai konkrit makmal.

“Atlas kini telah belajar untuk melaksanakan dan meniru pergerakan tersebut dengan cara yang boleh dipercayai supaya ia dapat menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan yang berlaku dalam situasi sebenar,” kata Pengarah Tingkah Laku Robotik di Boston Dynamics, Encik Alberto Rodriguez.

“Cara sistem ini berfungsi dalam simulasi memadai untuk diperluaskan pada skala lebih besar.”

Satu lagi matlamat, kata beliau, adalah untuk meningkatkan kefahaman masyarakat dalam bidang robotik serta menunjukkan bahawa teknologi ini “sepatutnya mengubah sektor perkilangan terlebih dahulu, kemudian mengubah kehidupan seharian kita pada dekad akan datang”.

Kebangkitan pesat teknologi robotik telah mencetuskan kebimbangan mengenai jaminan pekerjaan di seluruh dunia.

Perkembangan ini mendorong kesatuan sekerja untuk menentang penggantian tenaga kerja melalui automasi. 

Kesatuan sekerja Hyundai sendiri kini menuntut pihak pengurusan berbincang dengan pekerja sebelum menggunakan robot manusia, sebagai sebahagian daripada rundingan gaji yang sedang berlangsung. – Agensi berita.