Gergasi e-dagang, Shopee, kini melebarkan sayap perniagaannya kepada pengedaran produk insurans di platformnya.
Antara tawarannya ialah insurans haiwan peliharaan, yang diperkenalkan bersama MSIG Insurance dan Monee, cabang kewangan digital syarikat Shopee, Sea.
Namun, dengan peranan pasaran dalam talian yang semakin penting dalam pengedaran insurans, tumpuan kini beralih kepada tadbir urus dan pengawasan saluran jualan digital itu.
Jurucakap Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memberitahu The Business Times (BT), institusi kewangan “boleh mengedarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui pelbagai saluran, termasuk ejen dan penggunaan media digital”.
MAS telah menerbitkan garis panduan pada September 2025, yang menetapkan piawai tingkah laku untuk pengiklanan digital.
Garis panduan itu mewajibkan institusi kewangan melaksana tadbir urus yang kukuh dan pemantauan rapi terhadap kegiatan pengiklanan digital mereka.
Perkembangan itu seiring dengan peningkatan kerjasama antara syarikat insurans dengan perkhidmatan kewangan dengan platform e-dagang, yang bertujuan mendekati lebih ramai pelanggan.
Di bawah insurans haiwan peliharaan Shopee, pelanggan akan menikmati perlindungan percuma selama sebulan, dengan pelan yang melindungi sehingga $100 untuk rawatan pesakit luar dan dalam akibat kemalangan, dengan pelan bermula serendah $0.20 sehari.
MSIG dan Monee melaporkan “sambutan memberangsangkan” untuk produk insurans haiwan peliharaan baru itu semasa kempen 12.12 Shopee, yang mencerminkan peningkatan permintaan untuk insurans haiwan yang mudah diakses.
Bagaimanapun, butiran lanjut tidak didedahkan.
Ketua Pengedaran Runcit di MSIG Singapura, Encik Steven Leong, berkata langkah itu mengukuhkan komitmen syarikat itu untuk menjadikan insurans “mudah diakses dan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian”.
Produk insurans haiwan peliharaan itu diedarkan di Shopee Singapore oleh MoneeInsure Agency, unit insurans Monee, dan ditaja jamin oleh MSIG Insurance.
MSIG menjelaskan bahawa Shopee berfungsi hanya sebagai pasaran dalam talian, dan halaman insurans di platform itu dimiliki serta diuruskan oleh MoneeInsure Agency.
Sebarang pertanyaan berkaitan insurans akan terus dirujuk kepada MSIG, menunjukkan pemisahan yang jelas antara platform e-dagang itu dengan operasi insurans, selaras dengan garis panduan pengawal selia.
MoneeInsure Agency berdaftar sebagai ejen insurans umum di bawah Persatuan Insurans Umum Singapura (GIA), seperti yang dikehendaki MAS bagi memastikan kebertanggungjawapan.
Penggiat industri berpendapat, sebagai syarikat insurans utama, MSIG bertanggungjawab memastikan agensi tersebut memenuhi piawai profesional dan teknikal apabila memasarkan produk insurans kepada orang ramai.
Selain insurans haiwan peliharaan, Shopee turut mengedarkan produk insurans MSIG lain di platform beli-belahnya, termasuk insurans perjalanan, serta insurans kenderaan dan kemalangan peribadi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg