Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wadah digital CPF terbaru sedia perancang beli rumah, persaraan, insurans kesihatan

Sebuah buku peringatan yang mengisahkan sejarah dan evolusi CPF turut dilancar sempena sambutan 70 tahun pertubuhan itu
Jul 5, 2025 | 5:10 PM
Plan Life Ahead, Now!, PLAN with CPF 
Wadah ‘Rancang bersama Tabung Simpanan Pekerja (CPF)’ atau Plan Life Ahead, Now! (PLAN with CPF) menyediakan pilihan kepada pengguna untuk mengunjurkan simpanan dan bayaran persaraan mereka, mengira bajet pembelian rumah serta menilai kemampuan membayar premium insurans kesihatan. - Foto ST

Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) telah melancarkan wadah digital terbaru yang membolehkan anggota mengakses alat perancangan kewangan untuk menggunakan simpanan mereka dengan lebih baik.

Dikenali sebagai ‘Rancang bersama CPF’ atau Plan Life Ahead, Now!(PLAN with CPF), ia boleh didapati menerusi laman web CPF dengan menggunakan Singpass.

Orang ramai boleh mengunjurkan simpanan dan bayaran persaraan mereka, mengira bajet pembelian rumah serta menilai kemampuan membayar premium insurans kesihatan.

Pengguna akan melihat papan pemuka peribadi, dengan kandungan dan sumber yang disesuaikan mengikut peringkat kehidupan semasa mereka.

Wadah itu diperkenalkan pada 5 Julai semasa majlis pelancaran buku peringatan ulang tahun CPF yang ke-70.

Seorang pengguna mencuba wadah ‘Rancang bersama CPF’ di majlis sambutan ulang tahun CPF ke-70 di Our Tampines Hub pada 5 Julai.
Seorang pengguna mencuba wadah ‘Rancang bersama CPF’ di majlis sambutan ulang tahun CPF ke-70 di Our Tampines Hub pada 5 Julai. - Foto ST

Dalam ucaptamanya di majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CPF, Cik Melissa Khoo, berkata ‘Rancang bersama CPF’ diperkenalkan untuk memperkasakan anggota agar dapat lebih mengawal kesihatan kewangan mereka.

Di majlis yang turut dihadiri Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Ng Chee Khern; dan Pengerusi CPF, Cik Yong Ying-I; Cik Khoo berkata: 

“’Rancang bersama CPF’ menghimpunkan pelbagai alat bantu perancangan dan sumber terpilih, bersama sebuah papan pemuka peribadi untuk membimbing anggota dalam perjalanan perancangan kewangan mereka.

“Kami mengalu-alukan maklum balas dan akan terus menambah baik inisiatif ini dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan anggota.”

Wadah tersebut akan menyediakan beberapa perancang untuk kewangan mereka.

Antaranya, pengguna boleh melungsuri perancang bayaran persaraan, di mana mereka boleh merancang matlamat bayaran persaraan mereka dan meneroka cara memanfaatkan CPF untuk mencapai matlamat tersebut, termasuk melalui penambahan simpanan.

Perancang pembelian rumah pula membantu anggota CPF mengenal pasti bajet pembelian rumah mereka, pilihan pinjaman yang tersedia, serta bagaimana keputusan perumahan boleh memberi kesan kepada bayaran persaraan kelak.

Selain itu, perancang insurans kesihatan pula membantu anggota membandingkan jumlah bayaran premium dan ciri-ciri penting daripada pelbagai Pelan Perlindungan Bersepadu. 

Mereka kemudian boleh membuat keputusan sewajarnya mengenai perlindungan kesihatan mereka, menurut CPF.

Wadah tersebut turut menyediakan sumber pembelajaran mengenai perancangan kewangan serta soalan mengenai kesihatan kewangan yang membolehkan pengguna menilai tahap kewangan keseluruhan mereka dalam hal selain CPF.

Soalan tersebut dibangunkan bersama program pendidikan kewangan nasional, MoneySense, dan merangkumi soalan seperti “Berapa banyak simpanan yang anda ada untuk kegunaan kecemasan?” serta memberikan tip berguna mengenainya.

Cik Khoo menambah bahawa CPF mempunyai tujuan yang mendalam sebagai tunjang utama sistem keselamatan sosial Singapura, dan menegaskan ia akan sentiasa berinovasi untuk memperkukuh komitmen kepada anggotanya.

“Apabila aspirasi persaraan menjadi lebih pelbagai dan jangka hayat semakin sihat, nilai-nilai yang kekal ini akan membimbing kita dalam memenuhi keperluan masa depan,” ujarnya.

Bagi memperingati ulang tahunnya yang ke-70, Lembaga CPF turut melancarkan buku – Save & Sound: 70 Years Of CPF – yang mengisahkan perjalanan badan berkanun itu sepanjang tujuh dekad penubuhannya.

Buku tersebut mengandungi pendapat daripada menteri masa kini dan terdahulu, serta pemimpin dan kakitangan Lembaga CPF, selain kisah individu tentang bagaimana CPF telah memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Buku tersebut tidak dijual, namun salinan digital boleh didapati di cpf.gov.sg/cpf70.

Anggota masyarakat juga boleh mengunjungi pameran mengenai sejarah CPF di Our Tampines Hub yang berlangsung hingga 10 Julai.

Pengunjung boleh mencuba wadah ‘Rancang bersama CPF’ serta menyertai ceramah mengenai perumahan, penjagaan kesihatan dan persaraan yang akan diadakan pada 5 dan 6 Julai. – MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg