Siswa universiti yang ingin menerapkan kecerdasan buatan (AI) di luar dewan kuliah kini boleh melibatkan diri dalam projek kewangan dunia sebenar di bawah program baharu selama tiga bulan, melibatkan 20 institusi kewangan.

Institut Perbankan dan Kewangan (IBF) dengan sokongan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), telah melancarkan Program Bakat Muda bagi AI dalam Kewangan pada 19 Mei.

Ia merupakan sebahagian usaha lebih luas MAS dan IBF dalam memperluas laluan pembangunan bakat dalam sektor kewangan, termasuk menyediakan lebih 1,000 jawatan latihan amali dan program pelatih sepanjang 2027.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, yang menjadi tetamu terhormat pada majlis pelancaran program tersebut berkata, AI sedang mengubah cara syarikat beroperasi serta sifat pekerjaan.

Sektor kewangan Singapura menyumbang sekitar 14 peratus kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dan menggajikan sekitar 200,000 karyawan, dengan lebih 80 peratus daripada mereka merupakan warga tempatan.

Kebanyakannya merupakan “pekerjaan yang baik” dalam bidang seperti analisis, penyelesaian masalah rumit, pengurusan risiko dan pengurusan pelanggan, kata Encik Gan dalam ucapannya pada majlis yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Dengan kemunculan peluang baharu, Singapura akan membantu pelajar dan pekerja untuk “memperoleh kemahiran relevan, meraih pendedahan industri dan membina keyakinan” bagi merebut peluang tersebut.

“Oleh itu, kami mahu meneroka laluan lebih berstruktur yang menyatukan pendedahan industri ke dalam pendidikan formal,” kata Encik Gan.

Beliau menambah, model itu boleh diperluas ke lebih banyak institusi dan syarikat dari semasa ke semasa, serta memasuki bidang pertumbuhan baharu yang lain.

Program Bakat Muda itu akan mengajar pelajar asas penggunaan AI secara bertanggungjawab, diikuti komponen pembelajaran gunaan selama lapan hingga 10 minggu, dan mereka akan mengendalikan isu yang dihadapi perusahaan.

Mereka kemudian akan membentangkan projek masing-masing kepada institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Peserta yang terpilih juga mungkin ditawarkan latihan amali, program pelatih atau jawatan sepenuh masa, bergantung kepada rancangan pengambilan pekerja setiap firma.

Program itu dibuka kepada pelajar dari semua bidang pengajian, yang bakal memasuki tahun kedua hingga keempat dalam penggal Ogos, di enam universiti berautonomi Singapura.

Antara firma yang mengambil bahagian termasuk DBS, serta institusi pinjaman sejagat seperti Barclays, Deutsche Bank, Goldman Sachs dan JPMorgan Chase. 

Syarikat insurans dan pengurus aset terkemuka juga merupakan sebahagian daripada senarai berkenaan.

Butiran permohonan dan garis masa program akan diperincikan di laman web IBF, manakala peserta yang terpilih akan dimaklumkan menjelang pertengahan Julai.

Secara berasingan, Encik Gan berkata MAS dan IBF sedang bekerjasama dengan pihak industri bagi memperluas peluang latihan amali dan program pelatih bagi lulusan universiti.

Ini kerana peranan peringkat permulaan kini menjadi “lebih rumit” dan majikan memberi penekanan lebih besar kepada kemahiran gunaan, keupayaan menyesuaikan diri serta kesediaan kerja.

Peluang ini bertujuan menyediakan latihan berstruktur, pendedahan kepada institusi kewangan terkemuka, dan menjadi “batu loncatan bermakna” ke arah pekerjaan tetap.

Encik Gan memberi contoh Program Universiti Singapura bagi Daya Kerja dan Kesediaan UBS, atau UBS-Super, yang menggabungkan latihan berstruktur, pengalaman sambil bekerja dan bimbingan.

Melalui program tersebut, UBS merancang mengambil lebih 30 pelatih lulusan universiti dan politeknik pada 2026 dalam bidang seperti pengurusan kekayaan sejagat, perbankan pelaburan, kawalan risiko dan sumber manusia.