Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program kerja sambil belajar buka peluang tukar haluan kerjaya

Jul 29, 2024 | 5:30 AM
Encik Anwar Haqam Abdul Latiff, 26 tahun, menganggap laluan bekerja sambil belajar memberi pengalaman berharga untuknya.
Encik Anwar Haqam Abdul Latiff, 26 tahun, menganggap laluan bekerja sambil belajar memberi pengalaman berharga untuknya. - Foto ITE

Apabila terpaksa memilih laluan kerjaya pada usia muda, ramai yang tidak pasti langkah yang patut diambil.

Begitulah yang dialami oleh dua anak muda, Encik Anwar Haqam Abdul Latiff, 26 tahun, dan Cik Hammani Mohammad Nasir, 22 tahun, yang menganggap kursus yang mereka ambil selepas sekolah menengah tidak menepati cita rasa mereka tetapi tidak mempunyai pilihan lain. 

Disebabkan itu, Cik Hammani tercicir daripada kursus Teknologi Proses Kimia di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East.

Encik Anwar pula dapat menghabiskan kursus Nitec Lanjutan di ITE Kolej West dalam bidang perakaunan tetapi markahnya tidak mencukupi untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana politeknik tempatan. 

Walaupun mengaku patah semangat, Cik Hammani dan Encik Anwar enggan menyerah kalah.

Berbekalkan tekad yang kuat untuk memperbaiki diri dan melanjutkan pelajaran, mereka berdua menyertai program diploma bekerja sambil belajar atau Work-Study Diploma (WSDip) yang dikelolakan SkillsFuture.

Bagi Cik Hammani yang bercita-cita mengorak kerjaya dalam industri penjagaan kesihatan, peluang itu terbuka apabila mendapat tahu tentang laluan WSDip yang diselenggarakan syarikat, A Golden Wheel Industries, di bawah Procter & Gamble, sebuah syarikat farmaseutikal antarabangsa. 

“Saya tidak sangka diterima dan dapat memulakan pekerjaan dan pengajian saya.

“Yuran tahun pertama saya dapat dibereskan dengan menggunakan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA), dan seterusnya ditanggung melalui ikatan kontrak dengan syarikat.

“Selepas pengajian, kami menerima $5,000 pula sebagai insentif,” kata Cik Hammani yang bekerja sebagai pembantu ahli farmasi.

Cik Hammani baru meraih Diploma Sains Gunaan dari Politeknik Republik.

Perjalanan Encik Anwar pula berbeza kerana beliau menyertai Perkhidmatan Negara (NS) setelah tamat kursus perakaunannya di ITE. 

Beliau kemudian bekerja di sebuah syarikat logistik, Markono.

Dari situlah beliau mendapat tahu tentang kursus WSDip yang ditawarkan di tempat kerjanya bersama ITE (Kolej East).

“Apabila saya mendapat tahu tentang peluang ini, saya terus memohon. Sebagai pekerja sepenuh masa, pembiayaan kursus itu ditanggung oleh syarikat sepenuhnya.

“Di tempat kerja, pengurus saya juga merupakan jurulatih rasmi untuk kursus Diploma dalam Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan, dan beliau bertanggungjawab menilai prestasi di tempat kerja,” kata Encik Anwar.

Bekerja sambil belajar pasti ada cabarannya.

Salah satu daripadanya adalah dalam soal mengimbangi masa antara pekerjaan sepenuh masa dari 9 pagi hingga 6 petang, menghadiri kuliah selepas sekolah dengan masa untuk diri sendiri.

“Cabaran lainnya ialah menyesuaikan diri dengan kebiasaan baru dan jangkaan profesional dan menghadapi pembelajaran di sekolah yang tidak semestinya diterapkan dalam persekitaran kerja saya,” tambah Cik Hammani.

Encik Anwar yang menerima Anugerah Emas dalam kohortnya kerana mencatat markah cemerlang turut mengakui beliau menghadapi cabaran yang sama dalam mengimbangi masa dan menanggung tanggungjawab selaku pekerja sepenuh masa. 

“Tidak mudah untuk mengekalkan gred yang baik, sambil mengimbangi pekerjaan yang sama berat – sibuk dengan menghadiri mesyuarat, menjalankan projek dan menyelesaikan masalah di tempat kerja.

“Untuk memastikan semua berjalan lancar, saya terpaksa korbankan benda penting – seperti masa bersama keluarga dan tidur…”

Walaupun begitu, Encik Anwar akur pengalaman itu melatih dirinya untuk membiasakan diri dengan bekerja sambil belajar.

Malah, ini akan terus membantunya apabila beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda pada Ogos 2024 di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam jurusan Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan.

Perjalanan Encik Anwar mungkin lebih panjang kerana tidak pasti tentang arah tujuannya selepas sekolah menengah.

Tetapi beliau menasihatkan anak muda agar bertanya dengan golongan yang lebih dewasa dan berpengalaman.

“Memang sukar untuk membayangkan apa yang saya ingin ceburi pada usia yang muda – dan apabila saya bertanya dengan kawan-kawan yang sebaya, mereka pun dalam situasi yang sama.

“Jadi mengapakah tidak kita bertanya kepada orang dewasa yang lebih berpengalaman? Dari situ kita boleh bandingkan bidang-bidang yang sedia ada dan membuat andaian sendiri.”

SEKILAS LALUAN PROGRAM BEKERJA SAMBIL BELAJAR (WSP)

– Laluan program bekerja sambil belajar (WSP), wujud sejak 2015.

– WSP menyediakan peningkatan kemahiran, gabungkan pembelajaran bilik darjah dengan latihan tersusun sambil bekerja.

– WSP pada permulaan pelancarannya hanya menawarkan 15 program belajar sambil bekerja melalui gabungan dengan 12 sektor industri pekerjaan.

– Kini WSP kendalikan 160 program dengan gabungan bersama 40 sektor, di peringkat diploma, posdiploma dan sarjana muda.

– Lebih 13,000 pelajar telah mengambil bahagian dan meraih manfaat daripada WSP, dan lebih 3,000 syarikat telah bekerjasama dan berganding bahu sebagai rakan kongsi dalam program ini.

Cabaran imbangi kerja, kuliah dengan masa untuk diri sendiri

“Tidak mudah untuk mengekalkan gred yang baik, sambil mengimbangi pekerjaan yang sama berat – sibuk dengan menghadiri mesyuarat, menjalankan projek dan menyelesaikan masalah di tempat kerja. Untuk memastikan semua berjalan lancar, saya terpaksa korbankan benda penting – seperti masa bersama keluarga dan tidur…”
Encik Anwar Haqam Abdul Latiff.
Antara insentif program bekerja sambil belajar (WSP) 

“Saya tidak sangka diterima dan dapat memulakan pekerjaan dan pengajian saya. Yuran tahun pertama saya dapat dibereskan dengan menggunakan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA), dan seterusnya ditanggung melalui ikatan kontrak dengan syarikat. Selepas pengajian, kami menerima $5,000 pula sebagai insentif.”
Cik Hammani Mohammad Nasir.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg