Pengendali pelabuhan Singapura, PSA dan syarikat perkapalan China, Cosco, bersetuju menjalin kerjasama dalam pergudangan dan logistik di kemudahan baru di pelabuhan mega baru Singapura di Tuas.
Hab Rantaian Bekalan PSA@Tuas (PSCH), yang terletak di Pelabuhan Tuas dan bersebelahan Zon Perdagangan Bebas Tuas, dijangka memulakan operasi pada 2027, menurut PSA, yang mengendalikan hab pemindahan kontena terbesar dunia di Singapura.
PSCH akan menyokong pergerakan barangan bernilai tinggi yang kian meningkat di Asia Tenggara, China dan Asia-Pasifik dengan menyediakan kemudahan termasuk penyimpanan, pengedaran, bilik sejuk dan pengendalian barangan berbahaya dalam satu kemudahan.
Satu Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani pada 15 September antara Goldlead Supply Chain Development (Southeast Asia) dengan PSA.
Goldlead Supply Chain Development (Asia Tenggara) merupakan satu usaha sama Cosco Shipping Holdings dengan Cosco Shipping International (Singapura).
Menurut PSA, kerjasama dengan Cosco dibina atas perkongsian yang terjalin sejak sekian lama dan kini diperluaskan daripada operasi pelabuhan kontena kepada perkhidmatan rantaian bekalan penuh.
Kerjasama tersebut juga akan memberi manfaat kepada pelanggan di Asia dan lain-lain lagi, menggabungkan sistem pelabuhan dan rantaian bekalan PSA dengan rangkaian penghantaran dan logistik Cosco.
Cosco adalahkonglomerat khidmat pengangkutan laut berbilang negara milik pemerintah China yang berpangkalan di Shanghai, lapor The Straits Times (ST).
Syarikat tersebut menguasai perdagangan dalam Asia yang berkembang pesat, yang dianggarkan sebagai pasaran penghantaran kontena tunggal terbesar di dunia, lebih besar daripada pasaran Trans-Pasifik dan Asia–Eropah.
Pada separuh pertama 2025, Cosco mengendalikan 13.28 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU), dengan jumlah kontena di laluan dalam Asia naik 5.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goldlead, Encik Zhou Ganfei, berkata: “Lokasi strategik Singapura dan kemudahan canggih PSA menjadikan kerjasama ini sangat ideal.”
Menurutnya, hab rantaian bekalan di Pelabuhan Tuas akan membolehkan Cosco memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Asia Tenggara dan lain-lain lagi, dengan lebih pantas dan cekap.
Ketua ekosistem pelabuhan PSA bagi Asia Tenggara, Cik Seow Hwee, pula berkata kerjasama itu membantu pengendali pelabuhan tersebut memperkukuh operasi utamanya, selain membina sistem lebih berdaya tahan, sambil memanfaatkan peranan Singapura sebagai hab logistik sejagat.
Pada 2024, terminal pelabuhan Singapura mengendalikan rekod 622.67 juta tan kargo dan 40.9 juta TEU, dengan jualan bahan bakar kapal mencecah rekod 54.92 juta tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg