Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, India tandatangani 5 MOU dalam fasa lanjutan hubungan dua hala

Kerjasama rentasi pelbagai sektor termasuk pembangunan kemahiran perkilangan maju, koridor perkapalan hijau dan digital
Sep 4, 2025 | 8:19 PM
S’pura, India, PM Wong, MOU, PM Modi
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu rakan sejawatnya dari India, Encik Narendra Modi, di Hyderabad House di New Delhi pada 4 September. Mereka menekankan kerjasama yang mendalam dan berpandangan ke hadapan antara Singapura dengan India, yang berasaskan nilai bersama. - Foto ST

Singapura dan India telah menandatangani lima perjanjian bagi memperdalam kerjasama merentasi pelbagai sektor, seperti pembangunan kemahiran dalam perkilangan maju dan koridor perkapalan hijau dan digital.

Kedua-dua negara juga telah menghasilkan “peta jalan yang bercita-cita tinggi dan terperinci” dalam melakar fasa seterusnya bagi hubungan dua hala mereka sedang Singapura dan India meraikan 60 tahun hubungan bersama, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 4 September.

Bercakap dengan media di Hyderabad House menyusuli mesyuarat tertutup mereka, Encik Wong dan rakan sejawatnya dari India, Encik Narendra Modi, menekankan kerjasama yang mendalam dan berpandangan ke hadapan antara Singapura dengan India, yang berasaskan nilai bersama.

Sebelum menyampaikan ucapan, Encik Wong dan Encik Modi telah menyaksikan pertukaran kenyataan bersama mengenai pelan hala tuju bagi kerjasama strategik menyeluruh (CSP) antara kedua-dua negara itu, serta lima Memorandum Persefahaman, lapor The Straits Times (ST).

Lima MOU tersebut merangkumi inovasi aset digital, seperti sokongan lebih baik untuk aliran data rentas sempadan antara bank pusat setiap negara dengan hubungan pasaran modal; dan untuk mewujudkan koridor perkapalan hijau dan digital dengan prasarana dan teknologi yang membolehkan penggunaan bahan api dengan pelepasan gas rumah hijau hampir sifar.

Ia juga termasuk kerjasama dalam latihan, penyelidikan dan pembangunan penerbangan awam; pembangunan kemahiran dalam sektor baru seperti semikonduktor, elektronik dan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih penerbangan; serta industri angkasa lepas seperti komunikasi satelit.

Sejauh ini, lebih 20 satelit buatan Singapura telah dilancarkan oleh India.

Kedua-dua negara itu akan memperluaskan kerjasama ini dan meneroka sempadan baru yang boleh dicapai bersama, kata Encik Wong lagi.

Kedua-dua pemimpin itu juga telah menyaksikan perasmian maya Fasa Kedua PSA Mumbai, sebuah terminal kontena di Pelabuhan Jawaharlal Nehru di Navi Mumbai yang dikendalikan oleh sayap antarabangsa PSA.

Sambungan Fasa Kedua, apabila siap, akan menjadikan PSA Mumbai terminal kontena tunggal terbesar di India.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata India dalam dekad lalu telah mencapai kemajuan luar biasa di bawah kepimpinan Encik Modi, dan sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia hari ini, kedinamikan dan pengaruhnya dirasai jauh di luar sempadannya.

Hubungan Singapura-India telah berkembang seiring, dan juga menjadi lebih penting dalam dunia dengan ketidaktentuan dan pergolakan yang hebat.

Hubungan itu juga adalah berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan yang mendalam, tambah beliau.

“Kita boleh mendapatkan kekuatan daripada sejarah bersama kita, dan persahabatan serta kepercayaan antara rakyat kita,” kata beliau.

“Dan bersama-sama kita boleh mengukuhkan daya tahan, merebut peluang baru dan menyumbang kepada kestabilan dan pertumbuhan di rantau kita dan selanjutnya,” tambah beliau.

Encik Modi berkata kerjasama antara kedua-dua negara itu tidak terhad kepada bidang tradisional sahaja, tetapi telah berubah mengikut peredaran zaman untuk merangkumi bidang baru seperti perkilangan maju, perkapalan hijau, pembangunan kemahiran, kerjasama nuklear awam dan pengurusan air bandar.

Bagi meningkatkan perdagangan bersama, Singapura dan India juga telah memutuskan untuk menyemak Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) dua hala tepat pada masanya, manakala India juga sedang menyemak perjanjian perdagangan bebasnya dengan Asean, tambah beliau.

Sejak CECA berkuat kuasa pada 2005, perdagangan tahunan telah meningkat sekitar 2.5 kali ganda, daripada $20 bilion pada 2005 kepada $52.2 bilion pada 2023.

Encik Modi menyatakan bahawa sepanjang tahun lalu (2024), ketua menteri dari empat negeri India – Odisha, Telangana, Assam, dan Andhra Pradesh – telah melawat Singapura, manakala Presiden Tharman Shanmugaratnam pula telah mengunjungi India.

“Ini adalah kerjasama dengan tujuan, berasaskan nilai bersama dan dipandu oleh kepentingan bersama,” kata Encik Modi.

Kedua-dua negara itu didorong oleh visi bersama untuk keamanan, kemajuan dan kemakmuran, tambah beliau, sambil mengucapkan terima kasih atas komitmen peribadi Encik Wong terhadap kerjasama itu.

Kedua-dua pemimpin itu berdakapan selepas menyampaikan ucapan mereka.

Encik Wong menamatkan hari terakhir lawatan rasmi pertamanya ke India sebagai ketua pemerintah Singapura, dari 2 hingga 4 September.

Lawatan beliau ke New Delhi, atas undangan Encik Modi, diadakan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Singapura dan India telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan diplomatik kepada CSP sekitar setahun yang lalu, apabila Encik Modi melawat Singapura pada September 2024.

Di bawah CSP, Singapura dan India komited untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi, termasuk melalui kajian semula kepada Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-India pada 2025, kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama pada 4 September.

Kedua-dua pihak juga akan memperdalam kerjasama mereka dalam tujuh bidang lain: pembangunan kemahiran, pendigitalan, kemampanan, ketersambungan, penjagaan kesihatan, pertukaran rakyat dengan rakyat dan budaya, dan kerjasama pertahanan.

Di mesyuarat antara Encik Wong dengan Encik Modi pada 4 September, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk keperluan untuk menggalakkan integrasi ekonomi, mengukuhkan hubungan berbilang hala, dan menegakkan hubungan antarabangsa berasaskan peraturan, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan.

Secara berasingan, Encik Wong bertemu Presiden India, Cik Droupadi Murmu, dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar, Encik Subrahmanyam Jaishankar; Menteri Pendidikan, Encik Dharmendra Pradhan; dan Penasihat Keselamatan Negara, Encik Ajit Doval, tambah MFA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg