Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raine Group tutup pejabat di Hong Kong, tawar pekerja pindah ke S’pura

Dec 9, 2024 | 4:06 PM
Selain Singapura, Raine Group juga mempunyai pejabat di Shanghai dan Mumbai di Asia.
Selain Singapura, Raine Group juga mempunyai pejabat di Shanghai dan Mumbai di Asia. - Foto ZAOBAO

Bank Amerika Syarikat, Raine Group, merancang untuk menutup pejabatnya di Hong Kong dan menawarkan peluang kepada pekerjanya berpindah ke Singapura kerana ingin menyatukan operasi mereka di Asia, menurut sumber yang mengetahui tentang perkara tersebut.

Tiga pekerja di Hong Kong, termasuk seorang pengarah urusan, telah ditawarkan untuk berpindah, kata sumber yang enggan dikenali itu.

Langkah tersebut diambil susulan peningkatan kegiatan di Singapura, pejabat terbesar mereka di Asia, yang terus berkembang.

Dengan mewujudkan pusat yang lebih besar di Singapura, Raine ingin menyusun semula operasi mereka di rantau ini agar lebih cekap dan memberi peluang kepada bakat muda mereka untuk berkembang, kata sumber itu.

Jurucakap Raine enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Pada 2022, firma tersebut mengambil Encik Jonathan Pflug, yang ketika itu mengetuai bahagian penggabungan dan pengambilalihan di Morgan Stanley bagi Asia Tenggara, ketika mereka melancarkan pejabat di Singapura. 

Cik Deborah Mei, pengasas bersama yang bertanggungjawab untuk pejabat Raine di Asia, juga berpangkalan di Singapura.

Encik Masayoshi Son, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group, melabur dalam Raine apabila ia dilancarkan pada 2010 oleh Encik Joseph Ravitch, bekas rakan kongsi di Goldman Sachs, dan Encik Jeffrey A. Sine, bekas jurubank kanan di UBS Group. 

Raine telah menasihati SoftBank mengenai pelbagai transaksi berprofil tinggi sepanjang tahun, termasuk pemerolehan Arm Holdings, pereka cip telefon pintar Britain, bernilai AS$32 bilion ($42.8 bilion).

Firma itu – yang pakar dalam sektor teknologi, media dan telekomunikasi – telah terlibat dalam beberapa urus niaga utama di Asia, termasuk menasihati Grab mengenai penggabungannya dengan Uber Asia Tenggara pada 2018. 

Pada 2024, ia terlibat dalam pelaburan oleh usahawan, Encik Adar Poonawalla, melalui Serene Productions dalam syarikat milik penerbit India, Encik Karan Johar, Dharma Productions dan Dharmatic Entertainment, pencipta filem Bollywood yang laris.

Antara perjanjian besar global lain, Raine turut memberi nasihat kepada pasukan bola sepak dalam Liga Perdana England, Manchester United, mengenai pelaburan saham daripada hartawan, Encik Jim Ratcliffe.

Selain Singapura, Raine juga mempunyai pejabat di Shanghai dan Mumbai di Asia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg