Singapura meningkatkan ramalan Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) bagi keseluruhan 2026 selepas mencatat lonjakan 27.4 peratus pada suku kedua, dipacu oleh permintaan bagi barangan elektronik susulan pembangunan prasarana kecerdasan buatan (AI) sejagat.

Nodx pada suku pertama tumbuh 9.6 peratus, kata Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 11 Ogos.

Agensi pemerintah itu meningkatkan unjuran Nodx 2026 kepada 14 peratus hingga 16 peratus, berbanding ramalan awal 3 peratus hingga 5 peratus, mencerminkan prestasi separuh pertama yang amat kukuh dan didorong oleh sektor elektronik.

Lonjakan eksport barangan pada separuh pertama itu mencapai 18.6 peratus, iaitu pertumbuhan paling kukuh sejak 2010, lapor EnterpriseSG.

Eksport barangan elektronik dari April hingga Jun melonjak pada kadar rekod 88.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025, menyusuli pertumbuhan 57.8 peratus pada tiga bulan pertama 2026.

Dalam segmen elektronik, eksport litar bersepadu, atau semikonduktor, melonjak 91.9 peratus, manakala eksport media cakera meningkat sebanyak 182.5 peratus.

Permintaan bagi semikonduktor dan peranti elektronik yang diperlukan untuk menguasai tugasan AI di pusat data seluruh dunia telah melonjak pada 2026.

Ini sekali gus membantu ekonomi di seluruh Asia, termasuk Singapura, dan mengurangkan impak negatif daripada perang Iran dan tarif perdagangan Amerika Syarikat.

Kekuatan permintaan eksport berteraskan AI telah mencetuskan lonjakan dalam hasil pengilangan Singapura, yang mendorong pertumbuhan ekonomi keseluruhan kepada purata 6.1 peratus bagi tempoh enam bulan pertama 2026.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 11 Ogos turut meningkatkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi 2026 kepada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, berbanding ramalan awal iaitu 2 peratus hingga 4 peratus.

Ini mencerminkan prestasi ekonomi yang lebih baik daripada dijangkakan pada separuh pertama, serta prospek yang bertambah baik hasil percepatan perbelanjaan modal berkaitan AI di peringkat sejagat.

Namun begitu, wujud kebimbangan mengenai impak ketidakstabilan pasaran kewangan ke atas perbelanjaan prasarana AI.

MTI memberi amaran bahawa perubahan mendadak sentimen pasaran kewangan yang menjadi lebih berwaspada terhadap perbelanjaan modal AI sejagat, boleh mencetuskan pembetulan pasaran dengan potensi impak limpahan kepada kegiatan ekonomi secara lebih luas.

Tinjauan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) terhadap pakar ramalan swasta pada Jun menunjukkan 60 peratus responden mengetengahkan risiko letusan gelembung AI sebagai ancaman bagi ekonomi, dengan 15 peratus daripadanya menyatakannya sebagai kebimbangan utama mereka.

Walau bagaimanapun, EnterpriseSG berkata pertumbuhan eksport pada separuh kedua 2026 dijangka terus disokong oleh perkembangan AI, meskipun kadar pertumbuhannya dijangka menyederhana dari segi peratusan akibat kesan asas yang tinggi.

Agensi itu menambah bahawa antara risiko yang boleh menjejas eksport ialah konflik berpanjangan di Timur Tengah serta tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Amerika.

Nodx bukan elektronik Singapura berkembang 8 peratus pada suku kedua, selepas menguncup 3.5 peratus pada suku sebelumnya.

Kenaikan 62.3 peratus dalam eksport farmaseutikal menjadi pemacu utama eksport bukan elektronik.

Jumlah perdagangan barangan – yang merangkumi eksport semula – berkembang sebanyak 40.2 peratus pada suku kedua, dengan kedua-dua eksport dan import mencatat peningkatan.

Jumlah keseluruhan eksport meningkat 38.5 peratus, lebih baik berbanding pertumbuhan 27.9 peratus pada tempoh tiga bulan sebelumnya.

Eksport bukan minyak naik 36.5 peratus, manakala eksport minyak meningkat 50.8 peratus.

Pasaran utama Singapura bagi eksport Nodx pada suku kedua ialah Taiwan, yang menyaksikan lonjakan sebanyak 90.4 peratus.

Ini diikuti oleh peningkatan 67.1 peratus bagi eksport ke Korea Selatan dan kenaikan 58.9 peratus ke Amerika.