Topik diikuti
Pergi ke BHkuRamalan eksport utama S’pura bagi 2026 dinaikkan susuli lonjakan dikuasai AI pada suku kedua
Singapura meningkatkan ramalan Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (NODX) bagi keseluruhan tahun ini selepas mencatatkan lonjakan 27.4 peratus pada suku kedua 2026 – dipacu oleh permintaan bagi barangan elektronik susulan pembangunan infrastruktur AI global.
NODX pada suku pertama tumbuh sebanyak 9.6 peratus, kata Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 11 Ogos.
Agensi pemerintah itu meningkatkan unjuran NODX bagi 2026 kepada 14 peratus hingga 16 peratus, berbanding ramalan awal 3 peratus hingga 5 peratus, mencerminkan prestasi separuh pertama yang amat kukuh dan didorong oleh sektor elektronik.
Lonjakan eksport barangan pada separuh pertama itu mencapai 18.6 peratus, iaitu pertumbuhan paling kukuh sejak 2010, menurut EnterpriseSG.
Eksport barangan elektronik bagi tempoh April hingga Jun melonjak pada kadar rekod 88.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menyusuli pertumbuhan 57.8 peratus pada tiga bulan pertama 2026.
Dalam segmen elektronik, eksport litar bersepadu, atau semikonduktor, melonjak 91.9 peratus, manakala eksport media cakera meningkat sebanyak 182.5 peratus.
Permintaan bagi semikonduktor dan peranti elektronik yang diperlukan untuk menguasai tugasan kecerdasan buatan (AI) di pusat-pusat data seluruh dunia telah melonjak pada 2026.
Ini sekali gus membantu ekonomi di seluruh Asia, termasuk Singapura, mengurangkan impak negatif daripada perang Iran dan tarif perdagangan Amerika Syarikat.
Kekuatan permintaan eksport berteraskan AI ini telah mencetuskan lonjakan dalam hasil pembuatan Singapura, yang mendorong pertumbuhan ekonomi keseluruhan kepada purata 6.1 peratus bagi tempoh enam bulan pertama 2026.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 11 Ogos turut meningkatkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi 2026 kepada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, berbanding ramalan awal iaitu 2 hingga 4 peratus.
Ini mencerminkan prestasi ekonomi yang lebih baik daripada dijangkakan pada separuh pertama, serta prospek yang bertambah baik hasil percepatan perbelanjaan modal berkaitan AI di peringkat global.
Namun begitu, wujud kebimbangan mengenai impak ketidakstabilan pasaran kewangan ke atas perbelanjaan infrastruktur AI.
MTI memberi amaran bahawa perubahan mendadak sentimen pasaran kewangan yang menjadi lebih berwaspada terhadap perbelanjaan modal AI global boleh mencetuskan pembetulan pasaran dengan potensi impak limpahan kepada kegiatan ekonomi secara lebih luas.
Tinjauan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) terhadap pakar ramalan swasta pada Jun menunjukkan 60 peratus responden mengetengahkan risiko gelembung AI pecah sebagai ancaman bagi ekonomi, dengan 15 peratus daripadanya menyatakannya sebagai kebimbangan utama mereka.
Walau bagaimanapun, EnterpriseSG berkata pertumbuhan eksport pada separuh kedua berkemungkinan kekal disokong oleh pembangunan AI, meskipun kadar peluasannya dijangka sederhana dari segi peratusan berikutan kesan asas.
Agensi itu menambah bahawa risiko terhadap eksport termasuk senario seperti konflik yang lebih berpanjangan di Timur Tengah dan tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Amerika.
NODX bukan elektronik Singapura berkembang 8 peratus pada suku kedua, selepas menguncup 3.5 peratus pada suku sebelumnya.
Kenaikan 62.3 peratus dalam eksport farmaseutikal menjadi pemacu utama eksport bukan elektronik.
Jumlah perdagangan barangan – yang merangkumi eksport semula – berkembang sebanyak 40.2 peratus pada suku kedua, dengan kedua-dua eksport dan import mencatatkan peningkatan.
Jumlah keseluruhan eksport meningkat 38.5 peratus, lebih baik berbanding pertumbuhan 27.9 peratus pada tempoh tiga bulan sebelumnya.
Eksport bukan minyak naik 36.5 peratus, manakala eksport minyak meningkat 50.8 peratus.
Pasaran utama Singapura bagi eksport NODX pada suku kedua ialah Taiwan, yang menyaksikan lonjakan sebanyak 90.4 peratus.
Ini diikuti oleh peningkatan 67.1 peratus bagi eksport ke Korea Selatan dan kenaikan 58.9 peratus ke Amerika.
