Topik diikuti
Pergi ke BHkuRancakkan kawasan Kampong Gelam? Orang ramai dijemput kemuka saranan
DPPMS kumpul maklum balas, teroka cara bantu perniagaan warisan Kampong Gelam kekal relevan, daya saing.
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kini mengalu-alukan orang ramai, termasuk pemilik perniagaan, pencinta warisan serta peminat seni, untuk mengemukakan cadangan dan idea kreatif bagi menyuntik nafas baharu dan menyemarakkan lagi kawasan bersejarah Kampong Gelam.
Langkah itu diambil bagi memastikan kawasan yang menjadi nadi warisan serta identiti budaya masyarakat Melayu di Singapura itu kekal mekar, relevan dan berdaya saing dalam mengharungi cabaran ekonomi moden, kata dewan itu dalam satu kenyataan kepada Berita Harian (BH) pada 11 Ogos.
Sama ada menerusi penyediaan lebih banyak ruang santai yang mesra keluarga atau ruang khas bagi memulihara dan berkongsi sejarah kaya kawasan berkenaan, Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan memberi jaminan bahawa setiap idea dan pandangan yang diberi akan diteliti dengan baik.
“Sekiranya anda diberi peluang untuk membentuk atau mencipta sesuatu yang istimewa di Arab Street, apakah yang ingin anda lihat di sana?
“Kongsikan idea anda secara bebas. Setiap pemikiran amat berharga. Marilah kita bermimpi bersama untuk mewujudkan sebuah tempat yang benar-benar milik kita semua,” kata Encik Abdul Malik menerusi satu hantaran di laman Facebooknya ada 11 Ogos.
DPPMS berkata ia sedang mengambil peluang ini untuk mendengar dan lebih memahami pengalaman, kebimbangan dan aspirasi perniagaan dan pihak berkepentingan bagi Kampong Gelam.
Ia juga ingin memahami cabaran yang dihadapi oleh perniagaan warisan dan perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga, dan bagaimana ia boleh membantu mereka kekal relevan, berdaya tahan dan mampan.
Dalam respons kepada BH, Encik Abdul Malik berkata usaha pemeliharaan warisan Kampong Gelam mesti berlaku seiring dengan memastikan perniagaan di dalam kawasan tersebut kekal berdaya maju dan relevan.
“Kami ingin memahami pandangan perniagaan dan pihak berkepentingan sebelum membentuk sebarang pandangan atau mencadangkan penyelesaian.
“Kampong Gelam mempunyai identiti unik yang harus dipelihara, tetapi ia juga mesti kekal sebagai tempat yang bertenaga dan berdaya maju untuk perniagaan, penduduk dan pelawat.
“Kami percaya bahawa memahami realiti lapangan adalah langkah pertama yang penting ke arah memastikan ekosistem warisan dan perniagaan kawasan itu dapat terus berkembang maju bersama,” kata Encik Abdul Malik.
DPPMS menambah bahawa langkah pengumpulan maklum balas itu adalah usaha tidak formal dan tiada tempoh tetap tentang berapa lama usaha itu akan dijalankan.
Buat masa ini, DPPMS berkata ia sedang mengumpulkan pandangan orang ramai terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sama ada terdapat bidang-bidang di mana ia boleh menyumbang.
DPPMS berkata: “Kampong Gelam merupakan bahagian penting dalam warisan dan identiti Melayu Singapura dan warisannya berkait rapat dengan perniagaan dan masyarakat di dalam kawasan tersebut.
“Sebagai dewan perniagaan, kami berasa adalah penting untuk memahami bagaimana warisan, kemampanan perniagaan dan keperluan kawasan yang sentiasa berubah dapat terus wujud bersama.”
Langkah DPPMS ini hadir ketika kelangsungan perniagaan warisan di Kampong Gelam terus berdepan tekanan, termasuk peningkatan kos operasi dan sewa.
Pada 31 Januari, kedai makan nasi padang popular, Warong Nasi Pariaman di Kampong Gelam, mengumumkan penutupannya selepas beroperasi selama 78 tahun.
Kafe Penny University, kedai makan yang menyajikan kopi dan hidangan sarapan lewat pagi, atau brunch, juga menutup cawangannya di Jalan Klapa berdekatan kawasan Kampong Gelam pada 3 Mei.
Semasa acara pembukaan semula restoran Rumah Makan Minang pada 24 Julai, pemilik generasi ketiga restoran itu berkata isu kenaikan kos operasi dan kadar sewa masih menimbulkan cabaran dalam usaha melestarikan perniagaan warisan di Kampong Gelam.
Demi memastikan kelangsungan kawasan ikonik itu, beliau menyatakan bahawa kerjasama menyeluruh amat diperlukan meliputi bantuan pemerintah, pemilik hartanah, serta sokongan pelanggan dan masyarakat setempat.
Salah seorang pemilik restoran tersebut, Encik Muhamad Ariff Mohamad Zin, berkata usaha memelihara warisan tidak seharusnya tertumpu kepada pemulihan bangunan semata-mata, sebaliknya memerlukan pelaburan berterusan dalam perniagaan tempatan, kerjasama strategik dan masyarakat.
Pada Februari, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata sebilangan kecil penyewa di kawasan Kampong Gelam menghadapi kenaikan sewa sebanyak 25 peratus atau lebih tinggi apabila mereka menandatangani pajakan antara 2023 dengan 2025.
Kebanyakan kedai yang terjejas itu terletak di kawasan yang mempunyai kunjungan orang ramai yang tinggi seperti di Haji Lane dan Bali Lane, tambahnya.
Pada Mei, mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata sebuah pasukan petugas antara agensi sedang meneroka pelbagai cara untuk memperkukuh sokongan bagi perniagaan di sana.
Pasukan Petugas Silang Agensi bagi Perniagaan Warisan, Kegiatan Tradisional dan Kehidupan Budaya itu, yang kini dipengerusikan bersama oleh Dr Syed Harun, menggabungkan agensi utama untuk mengkaji cara menyokong perniagaan warisan.
Ditubuhkan pada 2025, agensi itu bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk menyemak dan mengemas kini dasar penggunaan tanah bagi gabungan penggunaan lebih mantap dalam mengekalkan ciri kawasan bersejarah.
