Selepas empat tahun menyajikan kopi dan hidangan sarapan lewat pagi, atau brunch, di Jalan Klapa berdekatan kawasan Kampong Gelam, kafe Penny University bakal menutup cawangan itu secara rasmi pada 3 Mei ini.

Berita sedih itu dikongsi sendiri oleh pihak pengurusan kafe tersebut menerusi satu hantaran di Instagram pada 18 April.

Bermula secara kecil-kecilan di East Coast Road sebelum berpindah ke Jalan Klapa, Penny University mengakui realiti ekonomi yang mencabar dalam sektor makanan dan minuman (F&B) menjadi punca utama keputusan ini diambil.

“Realiti ekonomi boleh menjadi sangat mencabar dan kami juga tidak terkecuali.

“Waktu yang sukar dalam industri F&B bermakna kami terpaksa mengakhiri perjalanan kami di Jalan Klapa ini,” menurut hantaran tersebut.

Walaupun sedih, pemiliknya menyifatkan tempoh empat tahun itu sebagai satu perjalanan yang indah, terutama sekali dalam menjalinkan hubungan dengan masyarakat setempat dan pelanggan antarabangsa yang sering berkunjung ke sana.

“Meskipun sedih, kami berasa amat berbesar hati dan bertuah kerana dapat berkhidmat untuk anda semua di sini.

“Kami akan pergi dengan kenangan manis, namun kami akan berehat seketika untuk mendapatkan tenaga kembali dan mengatur langkah seterusnya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua (rakan-rakan, pelanggan tetap, keluarga, pemilik bangunan, pelancong) yang telah memberikan sokongan padu sepanjang masa kami di sini,” katanya lagi.

Hantaran itu telah meraih hampir seribu tanda suka dan lebih 50 komen.

Pengguna Instagram, @sophinas, berkata:

“Terima kasih atas kopi, makanan dan kenangan yang hebat, serta kerana menjadi antara yang pertama merintis jalan bagi hidangan halal yang bermutu di Singapura.”

Rata-rata, ramai netizen terperanjat dan sedih untuk melihat kafe itu menutup cawangannya itu.

Pengguna @petiteetoile1707 berkata: “Sedihnya berita ini. Saya boleh katakan yang saya membesar bersama kafe anda. Saya harap kafe ini akan kembali semula satu hari nanti.”

Berita Harian telah menghubungi pemilik kafe untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kafe itu juga mempunyai cawangan yang masih beroperasi di Wisma Geylang Serai.