Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rangkaian niaga keluarga diraja Johor liputi bidang hartanah, telekomunikasi, prasarana

Nilai aset dianggarkan capai AS$5.7b
Jun 13, 2025 | 5:53 PM
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (depan), pernah berkata bahawa beliau percaya “adalah sihat bagi keluarga diraja terlibat dalam perniagaan yang sah, mengikut amalan yang betul, daripada terlibat dalam perniagaan meragukan yang boleh mencemar imej institusi ini”. - Foto SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR/FACEBOOK

Baru-baru ini pemerintah Singapura telah bersetuju untuk menukar sebidang tanah seluas 8.5 hektar (ha) di Holland Road dengan sebidang tanah seluas 13 ha di kawasan yang sama, milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Pertukaran tanah itu dilakukan agar pembangunan yang dirancang oleh Tunku Ismail, yang juga Tunku Mahkota Johor, dapat dijalankan “lebih jauh daripada Kebun Bunga Singapura”. Selain tanah, keluarga diraja Johor juga mempunyai aset lain seperti yang disenaraikan dalam laporan berikut.

Keluarga diraja Johor, yang diketuai Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memiliki aset yang dianggarkan bernilai AS$5.7 bilion ($7.3 bilion) melalui kepentingan meluas dalam pelbagai bidang termasuk hartanah, telekomunikasi dan prasarana.

Aset tersebut termasuk projek pembangunan hartanah Forest City di barat daya Johor, yang bernilai AS$100 bilion.

Dalam mempertahankan penglibatan aktifnya dalam perniagaan, Sultan Ibrahim pernah berkata bahawa beliau “mesti mencari rezeki seperti rakyat biasa Malaysia”, dan bukannya bergantung semata-mata kepada elaun bulanan beliau sebanyak RM27,000 ($8,210).

Dalam satu temu bual pada 2015 bersama akhbar Malaysia, The Star, beliau berkata:

“Saya percaya adalah sihat bagi keluarga diraja terlibat dalam perniagaan yang sah, mengikut amalan yang betul, daripada terlibat dalam perniagaan meragukan yang boleh mencemar imej institusi ini.”

Beliau turut menyatakan hasrat untuk “mewariskan bidang perniagaan ini kepada anak-anak saya kerana mereka perlu belajar”. 

Berikut antara senarai usaha niaga dan aset milik keluarga diraja Johor, berdasarkan pelbagai laporan dan pengumuman rasmi, lapor The Business Times (BT).

Usaha niaga milik keluarga diraja Johor

1. Forest City (pembangunan hartanah)

Sultan Ibrahim mempunyai 64 peratus kepentingan dalam Esplanade Danga 88, yang memiliki 40 peratus kepentingan dalam Country Garden Pacific View – sebuah syarikat usaha sama yang membangunkan projek Forest City.

Ini memberi beliau pegangan 25 peratus dalam projek Forest City, menggambarkan pengaruh pentingnya dalam pembangunan tersebut.

2. Berjaya Assets (pelaburan hartanah, tersenarai di Bursa Malaysia)

Sehingga Mei 2025, Sultan Ibrahim memegang 12.3 peratus saham (sekitar 316 juta saham) dalam Berjaya Assets, menjadikan beliau pemegang saham individu kedua terbesar, selepas pengasas syarikat tersebut, Encik Vincent Tan, yang memiliki 40.8 peratus saham.

3. U Mobile (telekomunikasi)

Sehingga akhir 2024, keluarga diraja Johor adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat telekomunikasi ini, dengan kepentingan 30.8 peratus.

Ini merangkumi 22.3 peratus saham U Mobile milik Sultan Ibrahim, dan 8.5 peratus saham syarikat itu milik puteri beliau, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim – melebihi 22.2 peratus saham milik pengasas dan pengerusi U Mobile, Encik Vincent Tan.

4. REDtone Digital (telekomunikasi, tersenarai di Bursa Malaysia)

Setakat Jun 2024, Sultan Ibrahim memiliki kira-kira 134 juta saham REDtone Digital, iaitu 17.9 peratus kepentingan dalam syarikat tersebut.

5. Knusford (kejuruteraan dan pembinaan prasarana, tersenarai di Bursa Malaysia)

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, adalah pengerusi dan pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas di Knusford, sejak Ogos 2013, dan masih terus memegang jawatan tersebut.

6. Hab perubatan Thomson Iskandar (perubatan dan penjagaan kesihatan)

Tunku Ismail memiliki 30 peratus kepentingan dalam hab perubatan Thomson Iskandar, selain jutawan Singapura, Encik Peter Lim yang turut memiliki kepentingan dalam perniagaan tersebut.

Beliau menyuntik RM400 juta ($121 juta) ke dalam TMC Life Sciences, menjadikannya pemegang saham utama dalam syarikat tersebut, memperkukuh pelibatannya dalam pembangunan sektor kesihatan di Johor.

7. Projek tambak tanah Tanjung Piai dan Pengerang

Tunku Ismail memiliki 21 peratus kepentingan dalam dua syarikat tujuan khas (SPV) – Spektrum Kukuh (bagi projek tambak tanah di Tanjung Piai) dan Spektrum Budi (bagi projek tambak tanah di Pengerang).

Syarikat Benalec Holdings memiliki 70 kepentingan dalam kededua SPV tersebut yang sedang melaksanakan projek penambakan tanah berskala besar di Johor.

Hartanah milik keluarga diraja Johor

1. Istana Bukit Serene (Johor Bahru)

Istana Bukit Serene berfungsi sebagai istana rasmi dan kediaman utama Sultan Johor.

Istana di Johor Bahru yang menghadap Selat Johor ini dibina antara 1933 dengan 1939.

Istana ini adalah milik kerajaan negeri dan kekal sebagai kediaman utama keluarga diraja Johor.

2. Istana Besar (Johor Bahru)

Dibina pada 1866 untuk Sultan Abu Bakar, Istana Besar adalah sebuah istana diraja utama di Johor Bahru.

Secara tradisinya, ia menjadi kediaman rasmi Sultan Johor dan digunakan untuk majlis rasmi, istiadat penganugerahan, dan jamuan negara. Hari ini, ia digunakan terutamanya bagi majlis diraja.

3. Tanah pantai yang ditambak (Johor)

Keluarga diraja Johor memiliki tanah yang luas di Johor, termasuk projek tambak tanah utama di Pengerang dan Tanjung Piai melalui syarikat tujuan khas dengan kerjasama Benalec Holdings.

4. Tyersall Park, Istana Woodneuk dan kawasan tanah di Holland Road (Singapura)

Tyersall Park, sebuah kawasan kediaman seluas 21 hektar berhampiran Kebun Bunga Singapura, pernah menjadi rujukan dan inspirasi bagi rumah keluarga Young yang diketengahkan dalam novel ‘Crazy Rich Asians’.

Namun, penggambaran filem berdasarkan novel tersebut telah dirakamkan di tempat lain.

Kawasan ini menempatkan Istana Woodneuk yang kini kelihatan usang.

Tyersall Park dimiliki keluarga diraja Johor sejak tahun 1800-an.

Kini, pemilik berdaftar hartanah tersebut ialah Tunku Ismail.

Tapak tersebut dianggarkan bernilai berbilion dolar kerana saiz dan lokasi utamanya.

Namun, ia diklasifikasikan sebagai ruang hijau, mengehadkan pembangunan.

Satu perjanjian pertukaran tanah baru-baru ini dengan Singapura dijangka membuka jalan untuk beliau membangunkan beberapa projek kediaman bertingkat rendah di bahagian tanah yang terletak lebih jauh sedikit dari Kebun Bunga Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg