Venezuela lulus reformasi minyak, pengendali dijangka dapat autonomi
Venezuela lulus reformasi minyak, pengendali dijangka dapat autonomi
Perubahan dijangka galak peningkatan keluaran minyak dan gas serta pelaburan asing
CARACAS: Para anggota Parlimen Venezuela telah meluluskan dalam undian terakhir pada 29 Januari, satu langkah pembaharuan menyeluruh undang-undang minyak negara itu selepas Presiden sementara, Cik Delcy Rodriguez, mencadangkan penurunan cukai.
Ia dijangka memperluas kuasa keputusan kementerian minyak untuk memberikan kuasa autonomi kepada pengeluar swasta dan memungkinkan pemindahan aset dan penyumberluaran.
Perubahan itu dijangka menggalakkan peningkatan pengeluaran minyak dan gas serta pelaburan asing menyusuli pelan pembinaan semula industri bernilai AS$100 bilion ($126.7 bilion) yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada Januari 2026 selepas tentera Amerika menahan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro.
Reformasi pantas industri minyak negara itu dibuat menyusuli 20 tahun langkah pemiliknegaraan yang ketat dan perampasan aset yang sebelum ini dimiliki oleh syarikat asing termasuk syarikat minyak Amerika, Exxon Mobil dan ConocoPhillips, yang belum dibayar sepenuhnya selepas bertahun-tahun tuntutan di mahkamah.
“Kami telah mencapai kelulusan sebulat suara bagi pembaharuan undang-undang hidrokarbon yang akan menjadikan pengambilan syarikat domestik dan asing untuk memperoleh sumber daripada rizab minyak terbesar di dunia lebih berdaya saing,” kata Presiden Dewan Undangan Negeri, Encik Jorge Rodriguez.
Seperti yang dijanjikan oleh pegawai Amerika, pentadbiran Encik Trump telah melonggarkan sekatan ke atas industri tenaga Venezuela yang berkaitan dengan eksport minyaknya melalui lesen umum, sejurus selepas kelulusan pembaharuan tersebut.
Cadangan itu dikemukakan, dibincangkan dan diluluskan dalam masa kurang daripada dua minggu.
Encik Trump berkata beliau akan mengawal hasil minyak Venezuela selama-lamanya menyusuli satu perjanjian bekalan utama bernilai AS$2 bilion antara Caracas dengan Washington.
Ramai bakal pelabur minyak melihat pembaharuan tersebut sebagai “cukup baik” untuk menggalakkan pelaburan awal bagi memulihkan industri minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) yang semakin berkurangan.
Dalam pada itu, bekas pegawai Venezuela menyifatkan ia tidak berperlembagaan.
Undang-undang baru itu akan membenarkan pengeluar swasta mengendalikan projek di bawah kontrak minyak baru atau dalam usaha sama, walaupun mereka adalah pihak berkepentingan minoriti.
Mereka memperoleh autonomi yang telah lama mereka mahukan untuk pengeluaran secara komersial dan meraih pendapatan daripada kawalan syarikat pemerintah, PDVSA.
Pembaharuan itu juga merasmikan model perkongsian pengeluaran minyak yang pertama kali diperkenalkan oleh Encik Maduro dan dirundingkan dengan firma tenaga yang kurang dikenali dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ahli politik dan pakar telah memberi amaran tentang kerahsiaan perjanjian tersebut dan potensi rasuah disebabkan oleh peraturan yang longgar.
Perubahan pada teks yang ditambah sejak kebelakangan ini menyediakan asas untuk mengurangkan cukai pendapatan bagi projek tenaga dan menghapuskan beberapa siri cukai tambahan.
Namun satu “cukai hidrokarbon” baru yang belum dikawal selia dalam undang-undang berasingan telah diperkenalkan, menimbulkan keraguan tentang niat Caracas untuk benar-benar menurunkan pendapatan pemerintah, antara yang tertinggi di Amerika Latin.
Cadangan yang dibuat pada saat-saat akhir oleh penggubal undang-undang pembangkang untuk memberikan ketelusan, mengehadkan kuasa kementerian dan mengekalkan kuasa kelulusan Dewan Negara untuk kontrak minyak telah ditolak.
Jawatankuasa tenaga badan perundangan telah menerima kira-kira 120 cadangan untuk mengubah suai undang-undang tersebut, kata Anggota Parlimen, Encik Orlando Camacho, yang bersekutu dengan pemerintah. – Reuters.

