Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kekal komited, ambil pandangan  jangka panjang dalam soal kemampanan

Jul 9, 2025 | 6:45 PM
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan laporan kemampanannya pada 9 Julai 2025.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan laporan kemampanannya pada 9 Julai 2025. - Foto ST

Laluan ke hadapan untuk tindakan iklim lebih tidak pasti hari ini berbanding sedekad lalu, tetapi Singapura terus mengambil pandangan jangka panjang tentang kemampanan dan kekal komited terhadap tindakan iklim, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Dalam laporan kemampanan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang dikeluarkan pada 9 Julai, Encik Gan, yang juga pengerusi MAS, berkata peralihan geopolitik, peningkatan perdagangan dan ketidaktentuan ekonomi merupakan cabaran penting kepada tindakan iklim, lapor The Straits Times (ST).

Menurutnya, beberapa institusi kewangan telah menarik diri daripada perjanjian sifar bersih sejagat dan beberapa penyokong tindakan iklim juga telah menilai semula komitmen mereka.

Tetapi Singapura tetap komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan membangunkan ekonomi rendah karbon yang kompetitif, tambahnya.

“Sebagai pusat kewangan mampan terkemuka, MAS dan Singapura kekal komited untuk menyokong peralihan rantau ini kepada masa depan yang lebih mampan,” jelas beliau.

Encik Gan menyatakan ketidakupayaan menangani iklim boleh menyebabkan penurunan 17 peratus dalam keluaran dalam negara kasar di Asia-Pasifik menjelang 2070 jika pelepasan tinggi berterusan.

“Kelewatan selanjutnya dalam tindakan boleh meningkatkan kelemahan negara dan syarikat kepada kejutan iklim apabila ia berlaku dan memerlukan peralihan yang lebih tajam dan lebih menimbulkan gangguan kelak.

“Mengambil tindakan lebih awal akan membolehkan kita menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam ekonomi sejagat yang dipengaruhi iklim,” ujar beliau.

Peralihan di Asia juga memberikan peluang ekonomi dengan anggaran pembuatan berkaitan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara berupaya mewujudkan sehingga enam juta pekerjaan menjelang 2050 dan menjana sehingga AS$100 bilion ($128.1 bilion) dalam hasil mahsul tahunan menjelang 2030.

“Sebagai sebuah pertubuhan, kami terus menunjukkan kepimpinan dengan mengurangkan pelepasan karbon korporat dan menguruskan portfolio berdaya tahan iklim,” katanya.

Sebagai contoh, MAS sedang mengurangkan pelepasan karbon merentas rantaian nilai mata wang melalui daya usaha seperti menggalakkan orang ramai menerima pakai wang kertas “sesuai dijadikan hadiah” untuk Tahun Baru Cina.

Ia merupakan wang kertas terpakai yang pada umumnya bersih dan bermutu yang boleh digunakan sebagai hadiah perayaan.

MAS bekerjasama dengan bank untuk mengembangkan rangkaian ATM dan cawangan mereka untuk mengeluarkan wang kertas serupa itu.

Sejumlah 16.2 juta keping wang kertas sedemikian ditukar pada musim perayaan 2025 – naik 38 peratus berbanding Tahun Baru Cina pada 2024.

Ini diterjemahkan kepada penjimatan pelepasan sekitar 517 tCO2e (tan karbon dioksida) daripada tidak mengeluarkan jumlah setara wang kertas baru untuk memenuhi permintaan musim perayaan – setanding dengan menjanakan kira-kira 280 flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) setahun.

Menyentuh soal pelaburan dan portfolio, MAS berkata ia juga akan terus mengukuhkan portfolio daya tahan iklim Rizab Asing Rasmi.

Rizab ini terkumpul apabila MAS membeli dolar Amerika Syarikat sebagai pertukaran dengan dolar Singapura, untuk menyederhanakan peningkatan nilai tukaran dolar Singapura.

MAS juga bekerjasama dengan Bursa Singapura untuk mendapatkan syarikat tersenarai untuk mula menggabungkan keperluan pendedahan berkaitan iklim yang sejajar dengan piawaian global mulai Tahun Kewangan 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg