Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan pekerja pengiriman dapat kredit $100 dari Maybank untuk beli keperluan rumah

Sep 29, 2025 | 8:58 PM
 The Kindness Market, Maybank Singapore
Pekerja penghantaran, Cik Nurlydiana Nordin (tengah), dapat menggunakan kredit $100 untuk ‘membeli’ barang keperluan rumah seperti sabun pencuci pakaian dan makanan dalam tin semasa acara, ‘The Kindness Market’, anjuran Maybank Singapore, pada 27 September di Dewan 2B, Singapore Expo. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Apabila tempahan khidmat penghantaran mula berkurangan, Cik Nurlydiana Nordin dan suaminya, Encik Muhammad Nurhidayat Mansor, kededuanya pekerja penghantaran, terdorong memohon bantuan Tabung Amal Aidilfitri (TAA) untuk menampung keperluan hidup pada awal 2025.

Dalam satu perkongsian dengan Berita Harian (BH) pada 27 September, Cik Nurlydiana berkata dirinya dan suami serta lima anak mereka selama ini hidup berdikari tanpa memerlukan bantuan tambahan daripada badan amal.

“Kerja pengiriman barang ini ada pasang surutnya. Lazimnya, semasa Tahun Baru Cina, khidmat penghantaran akan terjejas ekoran penutupan gudang atau kedai di China.

“Oleh itu, tempahan penghantaran bagi kami juga akan berkurangan.

“Kalau bulan-bulan sebelumnya kami mendapat beberapa ratus tempahan seorang dalam sehari, semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, adakalanya ia kurang daripada 10 tempahan.

“Awal 2025, kami terpaksa merujuk kepada TAA untuk mendaftar bagi mendapatkan bantuan pada Ramadan kerana kami tidak lagi dapat membiayai keperluan isi rumah kami,” ujar Cik Nurlydiana, 35 tahun.

Menurutnya, belanja bulanan bagi barangan runcit boleh mencecah lebih $600 untuk keluarga tujuh beranak, tidak termasuk bayaran tambahan seperti sewa van dan sebagainya.

Justeru, beliau dan suaminya, Encik Nurhidayat, 37 tahun, menawarkan khidmat penghantaran peribadi di bawah syarikat mereka sendiri, Deeyat Delivery Services.

Meskipun ia dapat membantu meringankan beban mereka, bantuan tambahan dialu-alukan bagi keluarganya yang mempunyai lima anak berusia antara tiga tahun dengan 12 tahun.

Sebagai ganjaran tambahan, kerjasama TAA bersama Maybank Singapore memberi ruang kepada keluarga itu meraih kredit $100 bagi ‘membeli’ barangan keperluan rumah.

Diberi namaKindness Credits’, ia dimanfaatkan 2,100 penerima bantuan yang dirujuk 14 rakan kongsi masyarakat dalam satu acara, ‘The Kindness Market’, di Dewan 2B, Singapore Expo pada 27 September.

Antara rakan kongsi masyarakat yang menggembleng tenaga bersama termasuk beberapa badan Melayu/Islam (MMO) seperti Pertapis; TAA; AMP Singapura; Persekutuan India Muslim Singapura (FSIM); Muhammadiyah; Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA); Casa Raudha dan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

Melalui ‘Kindness Market’, Cik Nurlydiana berjaya ‘membeli’ barangan keperluan seperti serbuk pencuci pakaian, sabun, dan makanan dalam tin, dengan kredit $100, yang akan membantu mengurangkan kos perbelanjaan bagi keluarganya selama lebih sebulan.

Dalam pada itu, barangan keperluan bernilai lebih $200,000 telah diagihkan Maybank Singapore, yang juga telah membuat komitmen menyalur $6.5 juta dalam tempoh lima tahun, melalui dana zakat perbankan Islam yang mampan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg