Ringgit mencatat lonjakan paling tinggi dalam tempoh sembilan tahun berikutan pertaruhan bahawa modal asing akan membanjiri ekonomi Malaysia di tengah-tengah suasana optimistik yang menyelubunginya, lapor akhbar The Straits Times.
Mata wang itu melonjak sebanyak 2.3 peratus pada 5 Ogos, ke arah keuntungan terbesarnya sejak Oktober 2015. Ia mengatasi rakan setara Asianya termasuk yen Jepun dan yuan China.
Pada 1.18 petang waktu Singapura, dagangan ringgit naik 2.1 peratus kepada 4.4047 setiap dolar Amerika Syarikat. Ia meningkat 1.55 peratus kepada 4.4272 setiap dolar Amerika pada 5.56 petang waktu Singapura.
Berbanding mata wang Singapura, ringgit melonjak 0.73 peratus kepada 3.3524 setiap dolar Singapura.
Selepas tiga tahun kerugian, ringgit mengatasi prestasi rakan setaranya di Asia pada 2024 apabila kerajaan negara itu memacu dasar untuk meningkatkan pelaburan asing dan mula melancarkan semula subsidi untuk mengurangkan defisit bajet.
Itu telah membantu menarik kembali minat daripada dana global, yang mencurahkan AS$112 juta ($148 juta) ke dalam saham Malaysia pada 2024.
Pemulihan ekonomi negara Asia Tenggara itu juga semakin pesat, dengan Hasil Dalam Negeri Kasar suku kedua mengatasi semua anggaran, disokong oleh peningkatan eksport.
“Kami percaya unjuran pertumbuhan ekonomi 4 peratus hingga 5 peratus pada 2024 boleh dicapai dan mungkin pergi ke tahap yang lebih tinggi,” laporan agensi Bernama memetik Menteri Kewangan Kedua Malaysia, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sebagai berkata pada 1 Ogos.
Beliau menambah bahawa mata wang tempatan itu sudah bersedia untuk terus kukuh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg