Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar cadang rombak Kabinet jika prestasi ekon M’sia terus lemah

Jun 26, 2024 | 12:40 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), bersama Pengerusi Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM), Encik Antony Lee, ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari AMCHAM di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), bersama Pengerusi Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM), Encik Antony Lee, ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari AMCHAM di Kuala Lumpur. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan teragak-agak membuat rombakan kecil Kabinet sekiranya Malaysia masih mencatatkan kedudukan tidak memuaskan dalam Indeks Daya Saing Dunia pada 2025.

Beliau berkata antara salah satu kritikan utama dalam laporan terbabit adalah Malaysia gagal atau kurang mengambil langkah tidak popular, namun pada masa sama kerajaan masih dapat melakukan langkah seperti melaksanakan penyasaran subsidi sebagai langkah menjimatkan berbilion ringgit.

“Namun, kerajaan akan berbuat demikian (langkah tidak popular) dan saya fikir ia dengan sendirinya menyelesaikan kritikan kedua terhadap prestasi ekonomi negara. Insya-Allah saya harap tahun depan (2025) ia akan mencatatkan laporan yang lebih baik.

“Jika tidak, saya terpaksa buat beberapa rombakan kecil dalam Kabinet. Hanya (itu) cara untuk menyelamatkan Perdana Menteri,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM) di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu ketika memberi penjelasan di Dewan Rakyat, Datuk Anwar menegaskan kelewatan melaksanakan penyasaran subsidi, selain prestasi ringgit yang lemah dan unjuran ekonomi pasca Covid-19, antara punca Malaysia jatuh ke tangga 34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Malaysia jatuh tujuh anak tangga kepada ke-34 dalam indeks berkenaan, manakala Singapura kekal di tangga teratas.

Menurut laporan indeks itu yang dikeluarkan sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland, International Institute for Management Development (IMD), Malaysia juga jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg