Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ringgit hampir capai paras tertinggi dalam tempoh 4 tahun

Nov 13, 2025 | 5:46 PM
Penganalisis menjangkakan ringgit akan mengukuh di bawah RM4.10 bagi setiap AS$1, serta berpotensi mencapai paras tertinggi sejak Mei 2021.
Penganalisis menjangkakan ringgit akan mengukuh di bawah RM4.10 bagi setiap AS$1, serta berpotensi mencapai paras tertinggi sejak Mei 2021. - Foto TM

KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia, mata wang yang mencatat prestasi terbaik di Asia pada 2025, kini hampir mencapai paras tertinggi empat tahun.

Ini berikutan momentum ekonomi yang semakin kukuh serta pengurangan ketegangan perdagangan global, yang mendorong pelabur asing melabur dalam pasaran hutang tempatan.

Penganalisis jangkakan ringgit akan mengukuh di bawah RM4.10 bagi setiap AS$1, serta berpotensi mencapai paras tertinggi sejak Mei 2021.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.1683. Ia telah melonjak lebih 2.8 peratus berbanding dolar Singapura tahun ini. Pada lewat Januari, ringgit didagangkan pada 3.248.

Prestasi ini selaras dengan keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah serta ekonomi yang semakin berkembang, menurut Maybank.

Pelabur asing telah membeli bon Malaysia bernilai hampir AS$4 bilion ($5.2 bilion) sepanjang 2025, membantu menstabilkan mata wang tempatan.

Ekonomi Malaysia yang berasaskan eksport kini mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan global, dengan pertumbuhan suku ketiga melebihi jangkaan.

Selain itu, sentimen pelabur bertambah baik susulan pelonggaran hubungan perdagangan antara dua pasaran eksport terbesar Malaysia – Amerika Syarikat dengan China, yang mendorong minat baru pelabur asing terhadap aset tempatan.

“Sentimen terhadap ringgit terus positif,” kata ahli strategi Maybank yang diketuai Encik Saktiandi Supaat dalam laporan ringkas kepada pelanggan.

Momentum ringgit telah meningkat dan terdapat “sebuah ‘tembok wang tunai’ yang masih boleh ditukar”, yang merujuk kepada simpanan asing syarikat besar dalam mata wang asing.

Ringgit dibuka pada RM4.13 bagi setiap AS$1 dalam dagangan awal pada 13 November.

Namun, petunjuk teknikal mencadangkan pengukuhan ringgit mungkin akan susut dalam masa terdekat.

Ahli strategi menjangkakan ringgit akan merosot sementara kepada RM4.18 bagi setiap AS$1 menjelang penghujung tahun, sebelum kembali mengukuh pada 2026, menurut anggaran median dalam satu tinjauan.

Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada awal November, menandakan keyakinan terhadap ketahanan ekonomi meskipun tekanan tarif Amerika masih wujud.

Dengan inflasi semakin reda dan pertumbuhan ekonomi semakin pulih, sebilangan besar ahli ekonomi menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sehingga penghujung tahun, lapor The Business Times (BT).

OPR merujuk kepada kadar faedah dasar yang mempengaruhi kadar pemberian pinjaman, pembiayaan bank, kadar deposit dan sebagainya. 

Bank Negara Malaysia menegaskan bahawa pendirian kewangan mereka kekal “neutral”, berdasarkan penilaian seimbang terhadap keadaan global dan domestik.

Ahli ekonomi kanan Asean di OCBC, Cik Lavanya Venkateswaran, menjangkakan eksport yang lebih perlahan akan memberi tekanan kepada aktiviti ekonomi pada 2026, yang mungkin menyebabkan satu lagi pemotongan kadar faedah. 

Namun, jika pertumbuhan ekonomi domestik terus kukuh, Bank Negara mungkin tidak perlu menurunkan kadar faedah lagi pada tahun depan, jelas Cik Venkateswaran.

Ringgit telah meningkat lebih 8 peratus sepanjang 2025. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg