KLUANG (Johor): Semua daerah di Johor akan meraih manfaat secara menyeluruh daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan bukan tertumpu di kawasan Johor Bahru sahaja, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau menegaskan kesemua 10 daerah di negeri itu sedang giat membangun dalam aspek pengangkutan, prasarana, perumahan dan pelancongan, selaras dengan agenda pemodenan dan transformasi negeri di bawah inisiatif JS-SEZ.
“Jangan anggap bahawa JS-SEZ ini hanya untuk Johor Bahru.
“Di bawah JS-SEZ, kesemua daerah akan menikmati manfaat hasil daripada pelbagai pembangunan yang sedang berjalan di seluruh negeri,” katanya semasa melancarkan program ‘Majestic Johor X Renggam Fiesta’ di TMIYC Renggam, pada 6 Julai.
Beliau turut menyebut projek strategik seperti Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru–Singapura yang dijangka mula beroperasi pada 1 Januari 2027, serta projek landasan berkembar elektrik Gemas–Johor Bahru yang bakal memendekkan masa perjalanan rakyat dengan ketara.
“Perjalanan dari Johor Bahru ke Renggam hanya akan mengambil masa 40 minit menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), manakala ke Kluang hanya 45 minit. Dari Johor Bahru ke Segamat pula, perjalanan yang lazimnya memakan masa dua setengah hingga tiga jam akan dipendekkan kepada hanya satu jam setengah,” katanya lapor The Star.
Walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai tarikh permulaan operasi perkhidmatan ETS itu, ia dijangka akan bermula 2026.
Datuk Onn Hafiz turut menyuarakan keyakinan bahawa pelaksanaan projek itu akan mampu memacu pertumbuhan kawasan seperti Layang-Layang, Renggam dan Kluang sebagai bandar satelit baru kepada Johor Bahru.
“Kalau Seremban boleh menjadi bandar satelit kepada Lembah Klang, tidak mustahil Layang-Layang, Renggam dan Kluang juga boleh memainkan peranan sama terhadap Johor Bahru,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Johor menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM2.5 bilion ($0.76 bilion) menjelang akhir 2025 – peningkatan ketara berbanding RM2 bilion yang direkodkan pada 2024, sekali gus mencatat sejarah sebagai kutipan tertinggi negeri setakat ini.
“Setiap ringgit yang dikutip akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang berorientasikan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg