Ringgit dijangka terus mengukuh dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang, disokong oleh perbelanjaan domestik yang kukuh, keyakinan pelabur asing serta langkah disiplin fiskal kerajaan yang semakin baik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata nilai mata wang tempatan berpotensi meningkat ke paras sedikit di bawah RM4 ($1.23) berbanding dolar Amerika Syarikat dalam tempoh setahun lagi.
Katanya, ia sekali gus menjadi paras paling tinggi sejak 2018 mewakili peningkatan lebih lima peratus.
Datuk Amir Hamzah yang juga Menteri Ekonomi berkata ringgit masih lagi kukuh kerana asas ekonomi negara kekal mantap.
“Dengan reformasi fiskal yang sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan dan persekitaran dasar yang stabil, keyakinan pelabur luar juga dijangka terus meningkat,” katanya dalam satu temubual bersama Bloomberg Television, pada 13 Oktober.
“Apa yang penting bagi kita adalah memastikan 2026 menjadi tahun yang cukup kukuh untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi domestik dan daya tahan ini akan memperlihatkan nilainya kepada pelabur luar,” katanya.
Datuk Amir Hamzah berkata kerajaan berjaya menurunkan kadar defisit fiskal kepada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) daripada 6.4 peratus kepada unjuran 3.8 peratus pada akhir 2025, dengan sasaran menurunkannya pada kadar 3.5 peratus pada 2026.
Selain itu Malaysia turut mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan sebanyak RM190 bilion pada separuh pertama 2025, disertai peningkatan kukuh dalam pelaburan domestik.
Beliau berkata data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai proksi kepada pekerjaan formal turut menunjukkan kadar caruman telah meningkat kepada sembilan peratus lebih tinggi berbanding 2024.
“Ini menunjukkan pasaran pekerjaan masih kukuh dan wang masih mengalir dalam sistem selain pelbagai langkah kerajaan untuk meningkatkan daya beli rakyat juga membantu meningkatkan penggunaan swasta.
“Jadi, semua elemen ini telah menyumbang kepada ketahanan ekonomi Malaysia. Oleh itu, pelabur melihat Malaysia dari perspektif yang berbeza,” katanya.
Datuk Amir Hamzah juga berkata dengan pertumbuhan kadar faedah yang semakin perlahan di negara lain termasuk Amerika, jurang perbezaan kadar faedah juga semakin kecil.
“Walaupun Rizab Persekutuan (Fed) Amerika belum memotong kadar faedah seperti dijangka terhadap ringgit, Datuk Amir Hamzah berkata hasil asas ekonomi yang kukuh dan disiplin fiskal menjadikan ringgit terus stabil dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata jika dilihat kepada semua reformasi yang telah dilaksanakan, ia adalah mengenai penerapan disiplin fiskal dan itu merupakan petanda yang baik kepada pelabur.
“Malah, Malaysia juga ketika ini mempunyai kerajaan yang stabil dan dasar yang jelas, sekali gus membantu menarik pelaburan dan menyokong prestasi mata wang tempatan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg