Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ringgit naik ke paras tertinggi dalam tempoh 4 tahun

Dec 12, 2025 | 4:16 PM
ringgit, malaysia, currency
Ringgit Malaysia mencatat paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat dalam lebih empat tahun, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara, sektor teknologi global, dan prestasi eksport yang kukuh. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia mencapai paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat dalam tempoh lebih empat tahun, mencerminkan keyakinan terhadap ekonomi negara dan sektor teknologi global.

Ringgit meningkat 0.3 peratus berbanding dolar Amerika kepada 4.0938 pada 12 Disember, paras tertinggi sejak Mei 2021.

Dengan kenaikan lebih 9 peratus setakat ini pada 2025, ia merupakan mata wang berprestasi terbaik di Asia bagi 2025.

Berbanding dolar Singapura, ringgit turut naik 0.3 peratus kepada 3.1709 bagi setiap dolar Singapura setakat 12 Disember, 1.18 tengah hari.

Sejak awal 2025, ringgit mengukuh 3.1 peratus berbanding mata wang Singapura.

“Asas ekonomi ringgit yang kukuh meletakkannya di hadapan mata wang serantau lain,” catat seorang ahli strategi Maybank termasuk ahli ekonomi dan Anggota Parlimen (AP), Encik Saktiandi Supaat, dalam satu nota.

Mereka berkata ringgit semakin kukuh disebabkan pelaburan yang terus meningkat, reformasi fiskal dan kebangkitan Malaysia sebagai hab pusat data utama.

Ringgit semakin kukuh kerana ekonomi Malaysia yang bergantung pada eksport mendapat dorongan daripada peningkatan permintaan dunia, menyebabkan pertumbuhan suku ketiga lebih baik daripada dijangka.

Pembuat dasar juga optimis pusat data boleh membantu membuka peluang pertumbuhan baru bagi Malaysia. 

Sementara itu, pengeluaran kilang pada Oktober meningkat pada kadar terpantas sejak September 2022, menurut data yang dikeluarkan pada 12 Disember.

Sentimen pelabur turut bertambah baik berikutan pengurangan ketegangan dalam hubungan perdagangan Amerika dengan China, yang merupakan dua pasaran eksport terbesar Malaysia.

Keyakinan itu mendorong pelabur asing menambah pegangan mereka dalam aset Malaysia.

Dana global mengalirkan AS$1.5 bilion ($1.9 bilion) ke dalam bon negara itu pada November, jumlah aliran masuk terbesar dalam tempoh enam bulan.

Menurut tinjauan Bloomberg, bank pusat dijangka mengekalkan kadar faedah hingga 2026, memberikan sokongan tambahan kepada ringgit.

Prestasi ringgit dijangka terus kukuh di Asia yang sedang membangun hingga 2026, disokong oleh rantaian bekalan teknologi dan pelaburan asing, menurut ahli strategi Goldman Sachs termasuk ahli ekonomi, Encik Danny Suwanapruti, dalam satu nota pada 9 Disember. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg