Singapura tidak akan mengenakan tarif balas walaupun banyak negara dijangka berbuat demikian, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Dalam hantaran Facebook beliau pada 3 April, Encik Lee berkata ini boleh mencetuskan kitaran yang semakin memburuk dengan tarif yang tinggi.
“Kami tidak akan bertindak dengan mengenakan tarif, walaupun banyak negara dijangka berbuat demikian.
“Ini boleh mencetuskan kitaran yang semakin memburuk dengan tarif yang tinggi.
“Perang dagang akan meningkatkan kos, mengekang perdagangan dan merencatkan pertumbuhan ekonomi untuk semua pihak,” kongsi beliau.
Ini menyusuli keputusan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk mengenakan cukai 10 peratus ke atas kebanyakan barang yang diimpot ke Amerika Syarikat dari Singapura dan rakan utama, dengan cukai lebih tinggi bagi kebanyakan negara lain.
Justeru Encik Lee mengingatkan rakyat Singapura dan perniagaan supaya bersedia menghadapi kemungkinan kesan yang lebih mencabar, sambil menambah bahawa langkah-langkah dalam Belanjawan 2025 dapat menyediakan sokongan yang mencukupi buat masa ini.
“Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sedang menilai semula ramalan pertumbuhan Singapura untuk 2025.
“Pertumbuhan (ekonomi) kita akan terjejas, walaupun terlalu awal untuk menentukan sejauh mana kesannya.
“Perdana Menteri Lawrence Wong dan pasukannya akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan bersedia untuk campur tangan bagi membantu isi rumah dan perniagaan jika diperlukan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg