Saham Asia, S’pura tidak terjejas biarpun Trump bayangkan tarif 15%
Saham Asia, S’pura tidak terjejas biarpun Trump bayangkan tarif 15%
Pasaran saham Singapura kelihatan tidak terlalu terjejas dengan pengumuman tarif global baru sebanyak 15 peratus oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Pengumuman ini dilakukan selepas Mahkamah Agung Amerika pada 20 Februari membatalkan tarif Hari Pembebasan Encik Trump.
Indeks Straits Times (STI) naik 1.81 mata, atau 0.3 peratus, kepada 5,032.41 pada tengah hari 23 Februari, selepas turun seketika sejurus pasaran dibuka.
Di rantau ini, Indeks Hang Seng meningkat 2.3 peratus, didorong oleh saham China, dengan China dilihat bakal termasuk antara negara yang dijangka menghadapi kadar duti lebih rendah bagi penghantaran barangan ke Amerika.
Pasaran kewangan di China dan Jepun ditutup berikutan cuti umum.
Sementara itu, Indeks Kospi Korea Selatan meningkat 0.6 peratus, manakala Nifty 50 India naik 0.8 peratus dan Indeks KLCI Malaysia meningkat 0.3 peratus.
Manakala, S&P/ASX 200 Australia merosot 0.7 peratus, susulan ketidaktentuan pelabur berikutan pengumuman tarif.
Mahkamah Agung Amerika pada 20 Februari memutuskan bahawa Encik Trump tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif di bawah undang-undang yang sepatutnya digunakan semasa kecemasan negara.
Encik Trump telah menggunakan akta tersebut pada April 2025 untuk mengumumkan tarif global meluas, dari 10 peratus hingga 50 peratus ke atas barangan yang diimport ke Amerika.
Sebagai tindak balas kepada keputusan mahkamah, Encik Trump segera menggunakan akta perdagangan lain untuk mengumumkan tarif global sebanyak 10 peratus ke atas barangan yang diimport ke Amerika daripada semua negara selama 150 hari.
Pada 21 Februari, Encik Trump berkata beliau akan menaikkan tarif sementara itu kepada 15 peratus – iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan di bawah akta tersebut.
Menurut penganalisis, terdapat beberapa perkara yang masih belum jelas mengenai tarif baru tersebut, ini termasuk tarikh penguatkuasaannya, barangan yang mungkin dikecualikan, dan jika semua negara akan dikenakan tarif dengan kadar 15 peratus.
Beberapa negara, termasuk Singapura dan Australia, sebelum ini dikenakan tarif 10 peratus di bawah peraturan terdahulu, manakala banyak negara Asia seperti India dan China berdepan kadar lebih tinggi.
Ketua global bagi pelaburan jangka pendek dan kecairan di Janus Henderson Investors, Encik Daniel Siluk, berkata:
“Bagi pasaran, keputusan (Mahkamah Agung) mengurangkan sedikit ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika dengan mengehadkan kemampuan Presiden untuk mengenakan tarif secara tiba-tiba dan berasaskan eksekutif.”
Beliau menambah bahawa keputusan itu menekankan peralihan kepada dasar perdagangan lebih perlahan dan tertakluk kepada prosedur lebih terhad.
Namun, ketua pakar strategi pasaran global di Invesco, Encik Brian Levitt, berkata walaupun Mahkamah Agung Amerika membatalkan tarif tersebut, kadar tarif Amerika secara keseluruhan dijangka tidak akan menurun dengan ketara.
“Undang–undang lain memberi kuasa luas kepada Presiden untuk mengenakan tarif, ini bermakna tarif yang dikuatkuasakan sebelum ini tetap boleh dikenakan semula di bawah rangka undang–undang berbeza,” katanya.
“Disebabkan itu, reaksi awal pasaran terhadap keputusan itu mungkin hanya bersifat sementara.”
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata pada 22 Februari bahawa pemerintah Singapura akan menghubungi pihak Amerika bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan tarif baru tersebut.
Namun, beliau turut menekankan bahawa jika kadar minimum 15 peratus dikenakan kepada semua negara, ia akan menjadi sangat sukar bagi Singapura untuk berunding bagi pengecualian.

