Saham City Developments Limited (CDL) melonjak lebih 4 peratus pada 13 Mac, selepas hartawan Kwek Leng Beng berkata pada malam 12 Mac beliau akan menggugurkan tuntutan mahkamah terhadap anaknya, Encik Sherman Kwek, dan pengarah lain syarikat itu.
Harga saham itu mencecah $5.15 sekitar 11.28 pagi, dengan sekitar 3.3 juta saham bernilai kira-kira $17 juta didagangkan.
Menurut The Straits Times, ia adalah peningkatan 21 sen daripada harga pada hari penutupan pada 12 Mac sebanyak $4.94.
Ini memulihkan harga saham itu ke paras sebelum perbalahan antara bapa dan anak itu untuk mengawal CDL terbongkar pada 26 Februari. Dagangan juga digantung ketika itu.
Encik Kwek Leng Beng berkata pada waktu itu bahawa beliau memfailkan kertas mahkamah untuk menangani “cubaan rampasan kuasa” oleh anaknya, ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan CDL.
Saham CDL pada hari-hari berikutnya turun hingga ke paras terendah $4.93 pada 11 Mac.
Tetapi dalam satu langkah mengejut pada 12 Mac, Encik Kwek Leng Beng berkata beliau memutuskan untuk menggugurkan tuntutan mahkamah itu, yang bertujuan menghalang anaknya dan pengarah majoriti CDL mengambil beberapa resolusi lembaga pengarah.
Tuntutan itu juga difailkan untuk menghalang dua pengarah bebas yang baru dilantik menggunakan kuasa mereka.
Encik Kwek Leng Beng menambah bahawa beliau akan meneruskan peranannya sebagai pengerusi eksekutif, dan anaknya akan meneruskan peranan sebagai CEO kumpulan.
Tetapi penganalisis RHB berkata ini tidak bermakna perkara itu telah selesai sepenuhnya.
Mereka berkata: “Walaupun langkah perdamaian itu menawarkan penangguhan kecil, ia tidak menangani sepenuhnya pelbagai isu tadbir urus korporat dan perbezaan lembaga pengarah yang dibangkitkan semasa pertikaian itu.”
Encik Kwek Leng Beng menuduh Encik Sherman Kwek dan beberapa pengarah cuba melantik dua pengarah bebas baru tanpa mendapat kelulusan penuh lembaga pengarah dan memintas jawatankuasa pencalonan.
Persatuan Pelabur Sekuriti (Singapura), atau Sias, juga mengemukakan soalan pada 6 Mac kepada CDL, meliputi isu seperti peranan Dr Catherine Wu, bekas penasihat tidak bergaji kepada anak syarikat CDL, Millennium & Copthorne Hotels (M&C), dan bagaimana dua pengarah bebas itu dilantik.
Penganalisis RHB menambah bahawa pelabur masih berkemungkinan mahu kebimbangan mereka ditangani sepenuhnya dan mendapatkan lebih kejelasan mengenai rancangan CDL bagi memaksimumkan pulangan pemegang saham.
“Mereka juga ingin melihat perlindungan dan langkah tambahan yang akan dilaksanakan untuk mengelakkan isu sama mengenai tadbir urus korporat dan berkaitan lembaga timbul lagi pada masa hadapan,” kata penganalisis itu.
Mereka menyatakan harga saham itu juga berkemungkinan kekal dalam julat sama dalam tempoh terdekat hingga kebimbangan pelabur ditangani, dan mengekalkan harga sasaran $4.75.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg