Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Catherine Wu letak jawatan sebagai penasihat anak syarikat CDL 

Mar 5, 2025 | 12:33 PM
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) City Developments Limited (CDL), Encik Sherman Kwek, Dr Catherine Wu adalah punca pertikaian antara bapanya dengan dirinya serta lembaga pengarah majoriti CDL kerana beliau “memiliki dan menggunakan pengaruh yang besar”.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) City Developments Limited (CDL), Encik Sherman Kwek, Dr Catherine Wu adalah punca pertikaian antara bapanya dengan dirinya serta lembaga pengarah majoriti CDL kerana beliau “memiliki dan menggunakan pengaruh yang besar”. - Foto ZAOBAO

Dr Catherine Wu, yang menjadi tumpuan dalam satu pertikaian berprofil tinggi antara Encik Kwek Leng Beng dengan anaknya, Encik Sherman Kwek, telah meletak jawatan sebagai penasihat tanpa gaji kepada Millennium & Copthorne Hotels (M&C).

Dalam satu kenyataan akhbar lewat pada 4 Mac, Encik Kwek Leng Beng berkata M&C, cabang hotel City Developments Limited (CDL), telah menerima “peletakan jawatan tidak boleh ditarik balik” Dr Wu sebagai penasihat bebas tanpa gaji, berkuat kuasa serta-merta.

“Oleh kerana Dr Wu telah meletak jawatan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO, Encik Sherman Kwek) dan pasukan pengarahnya tidak lagi mempunyai sebarang asas berterusan untuk membuat dakwaan tadbir urus korporat sedemikian mengenai CDL dan mewajarkan rampasan kuasa lembaganya,” kata Encik Kwek Leng Beng, yang merupakan pengerusi eksekutif CDL, lapor The Straits Times.

“Sudah tiba masanya kami memulihkan keyakinan pelabur dan memastikan pelanggaran tadbir urus korporat yang dilakukan oleh CEO dan pasukan pengarahnya, termasuk pelanggaran peraturan penyenaraian SGX (Bursa Singapura) dan Kod Tadbir Urus Korporat, tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Minggu lalu, Encik Kwek Leng Beng menuduh anaknya dan sekumpulan pengarah atas cubaan rampasan kuasa.

Beliau juga mendakwa bahawa terdapat kesilapan besar dalam isu kebebasan dan tadbir urus lembaga CDL.

Menyusuli perbicaraan mahkamah pada 26 Februari, hakim bersetuju bahawa anak lelakinya itu dan enam pengarah bebas secara sukarela akan menghentikan pelaksanaan beberapa resolusi sementara prosiding mahkamah sedang dijalankan.

Dua pengarah bebas, Cik Jennifer Duong Young dan Cik Wong Su-Yen, yang didakwa Encik Kwek Leng Beng “dilantik secara tidak teratur dan tergesa-gesa” pada 7 Februari, juga telah bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut sehingga notis selanjutnya oleh mahkamah.

Sebagai tindak balas, Encik Sherman Kwek telah menafikan sebarang percubaan untuk menggulingkan pengerusi itu.

Beliau berkata Dr Wu adalah punca pertikaian antara bapanya dengan dirinya serta lembaga pengarah majoriti CDL kerana beliau “memiliki dan menggunakan pengaruh yang besar”.

“Perkara ini telah merisaukan kami sebagai pengarah,” kata Encik Sherman Kwek.

Dalam kenyataannya pada 4 Mac, Encik Kwek Leng Beng berkata sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada isu yang perlu ditangani oleh CDL.

Ini termasuk masalah Sincere Property yang telah mengakibatkan kerugian luar biasa sebanyak $1.9 bilion untuk CDL pada tahun kewangan 2020; keputusan pelaburan yang buruk dalam pasaran hartanah di Britain yang membawa kepada kemerosotan kewangan yang besar, yang memuncak dengan kejatuhan 94 peratus dalam keuntungan pada separuh pertama 2023; dan harga saham CDL yang lemah sejak Encik Sherman Kwek menerajui syarikat itu pada 2018.

Beliau juga menyatakan bahawa harga saham CDL semakin meruncing berikutan pelanggaran peraturan berkaitan oleh CEO itu dan pasukan pengarahnya.

Ini, katanya, menandakan keyakinan pelabur yang berkurangan dan kebimbangan pemegang saham yang semakin meningkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg