Pakej rangsangan besar Beijing yang tidak dijangka telah menyebabkan harga saham syarikat China yang tersenarai di Singapura melonjak dalam beberapa hari kebelakangan ini ke paras tertinggi mereka dalam beberapa tahun.
Bursa Singapura (SGX) memetik harga saham kumpulan hartanah China, Yanlord Land, telah melonjak 57 peratus sejak akhir September, manakala syarikat tenaga suria, Sunpower Group, meningkat 38 peratus.
Saham syarikat lain seperti Sasseur Reit, China Aviation Oil, pembangun hartanah Ying Li International, malah pengeluar kimia, Jiutian Chemical, juga meningkat.
Ini berlaku selepas China minggu lalu melancarkan pakej rangsangan untuk mengatasi kelembapan beberapa tahun dalam pertumbuhannya disebabkan sektor hartanahnya dan eksport yang lemah, serta permintaan dalam negeri yang lembap, lapor The Straits Times.
Elemen utama pakej itu termasuk pelonggaran kewangan oleh Peoples’ Bank of China, peningkatan perbelanjaan prasarana, sokongan untuk sektor hartanah melalui program pinjaman semula, pemotongan cukai dan subsidi untuk meningkatkan penggunaan domestik, dan pelonggaran sekatan ke atas pelaburan asing.
Langkah-langkah itu mengejutkan penganalisis, tetapi mencetuskan kenaikan mendadak dalam saham berkaitan China di sini dengan keyakinan bahawa mereka boleh mendapat manfaat daripada pencergasan semula ekonomi yang sudah hampir empat tahun terbantut.
Ketua Penyelidikan Maybank Securities, Encik Thilan Wickramesinghe, menyatakan bahawa syarikat tersenarai SGX dengan pendedahan China yang ketara menikmati kesan limpahan daripada rangsangan besar-besaran negara itu.
“Pada masa ini, kami fikir pasaran turut mengambil bahagian dalam potensi peningkatan daripada rangsangan melalui Singapura, memandangkan China ditutup untuk perayaan Minggu Emas,” katanya.
“Beberapa penerima manfaat utama ialah syarikat amanah pelaburan hartanah dengan pendedahan Tanah Besar China, seperti Mapletree PanAsia Commercial Trust, bank dengan akaun besar Asia Utara seperti DBS, dan pemaju seperti UOL, HK Land dan City Developments. Wilmar International juga harus mendapat manfaat memandangkan bahagian pasarannya yang besar dalam barangan asas pengguna di China,” tambahnya.
Syarikat-syarikat seperti Capitaland China Trust, Yangzijiang Financial, Hong Leong Asia, Nanofilm Tech, Hutchison Port, Jardine Matheson, DFI Retail dan banyak lagi yang mempunyai pendedahan China yang ketara juga dilihat mendapat manfaat daripada “demam China” itu.
Pasaran Hong Kong dan tanah besar China juga meningkat dengan kukuh.
Indeks Hang Seng Hong Kong telah meningkat hampir 15 peratus sejak 27 September, menjadikan jumlah keuntungannya sejak 20 September kepada hampir 20 peratus.
Indeks Komposit Shanghai naik hampir 10 peratus pada 27 September sebelum ditutup untuk cuti Minggu Emas.
Di Singapura, Indeks FTSE ST China meningkat kira-kira 10 peratus sepanjang lima sesi dagangan yang lalu, mengatasi kebanyakan pasaran serantau dan sektor Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg