Bursa Saham Singapura (SGX) sedang meneroka peluang untuk berkembang ke Dubai susulan pertumbuhan besar aset dana perlindungan di Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketua pasaran dan platform borong SGX, Encik Lee Beng Hong, dalam satu temu bual, berkata kadar tinggi penghijrahan pelanggan SGX ke UAE adalah salah satu sebab yang kukuh untuk membuka pejabat baru di sana.
Selain itu, langkah itu dapat melengkapkan operasi SGX di sembilan negara lain.
“Berdasarkan kejayaan yang telah kami perolehi di Timur Tengah, ini adalah masa yang sesuai untuk kami luaskan kehadiran kami di sana,” kata Encik Lee.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini juga, ramai pengurus dana telah berpusu-pusu berhijrah ke Dubai.
Mereka tertarik dengan pelbagai insentif yang ditawarkan UAE seperti kadar cukai yang rendah, serta zon waktu yang menyenangkan.
Pengurusan Milenium, BlueCrest dan Pengurusan Aset Balyasny adalah antara syarikat pelaburan yang telah kembangkan operasi mereka ke bandar itu.
Walaupun kehadiran SGX di pasaran Timur Tengah masih berada di peringkat awal, mereka merancang memindahkan pekerja yang berpangkalan di Qatar ke Dubai sebelum menambah lebih ramai kakitangan, kata Encik Lee.
Beliau tidak mendedahkan bilangan kakitangan yang bakal diambil bekerja oleh SGX.
“Kami merancang mengambil lebih ramai kakitangan. Kami tidak mahu pejabat yang kecil, kerana ia akan mengurangkan perhubungan antara kakitangan dengan produk kami,” kata Encik Lee.
“Ke mana pelanggan kami pergi, ke sanalah kami akan ikut.”
Pada tahun ini, SGX telah meraih keuntungan berlipat daripada dagangan mata wang, dengan menjangkau sasaran penjualan selama empat bulan berturut-turut sehingga bulan Ogos, dan purata harian sekitar AS$111 bilion ($143 bilion).
SGX telah mendapat manfaat daripada minat yang semakin meningkat dalam dagangan mata wang Asia di kalangan pelabur, terutama perdagangan matawang yen. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg