Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saham Grab lonjak selepas naikkan ramalan pendapatan

Nov 12, 2024 | 11:49 AM
Syarikat Grab Holdings meramalkan AS$308 juta ($410.6 juta) hingga AS$313 juta dalam pendapatan setahun sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, melebihi AS$270 juta yang diramalkan sebelum ini.
Syarikat Grab Holdings meramalkan AS$308 juta ($410.6 juta) hingga AS$313 juta dalam pendapatan setahun sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, melebihi AS$270 juta yang diramalkan sebelum ini. - Foto ST

Saham Grab Holdings meningkat 15 peratus dalam dagangan Amerika Syarikat selepas peneraju pengangkutan dan penghantaran Asia Tenggara itu menaikkan ramalan pendapatannya untuk 2024, dibantu oleh pengurangan kos untuk menangani persaingan sengit.

Syarikat itu meramalkan AS$308 juta ($410.6 juta) hingga AS$313 juta dalam pendapatan setahun sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, melebihi AS$270 juta yang diramalkan sebelum ini.

Pendapatan bagi suku ketiga yang berakhir pada September ialah AS$90 juta, melebihi AS$66.2 juta yang diramalkan oleh penganalisis.

Grab juga telah mencatatkan pendapatan bersih tertingginya yang kedua.

Hasil pendapatan pada 2024 ialah sebanyak AS$2.78 bilion, kata Grab, dan bukan AS$2.75 bilion yang diramalkan sebelum ini.

Hasil suku ketiga pula meningkat 17 peratus kepada AS$716 juta, berbanding AS$697 juta yang dijangka penganalisis.

“Kami tetap yakin dengan prospek pertumbuhan jangka panjang Asia Tenggara, dan kami berusaha sepenuhnya untuk memenuhi permintaan pengguna yang tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grab, Encik Anthony Tan.

Grab sedang berusaha untuk membuktikan bahawa usaha pemotongan kosnya membuahkan hasil.

Syarikat yang berpusat di Singapura itu kini memberi lebih tumpuan kepada memperoleh keuntungan selepas bertahun-tahun membelanjakan wang untuk mengembangkan bahagian pasaran dan menangkis persaingan.

Namun, syarikat itu juga perlu menunjukkan bahawa ia boleh mengekalkan keseimbangan yang sihat antara keuntungan dan pertumbuhan, walaupun persaingan sengit daripada pesaing seperti GoTo Group memberi tekanan kepada margin perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran makanannya.

Saham Grab meningkat hingga AS$5.04 dalam dagangan di New York pada 11 November, selepas ditutup pada AS$4.38 dalam sesi biasa.

Saham Grab, yang sebelum ini merupakan antara syarikat pemula paling popular di Asia Tenggara, jatuh sekitar 60 peratus sejak ia mula tersenarai pada akhir 2021.

Namun, mereka telah membuat kemajuan pada 2024 apabila kerugian mereka semakin berkurang, mengatasi pesaing utama serantau mereka, GoTo dari Indonesia.

Grab telah menyaksikan pertumbuhan perlahan secara mendadak daripada kadar tiga angka pada tahun-tahun lalu, apabila pelanggan di rantau ini berjimat dan mengurangkan perbelanjaan untuk menghadapi inflasi dan kadar faedah yang tinggi.

Walaupun bilangan pelanggan Grab meningkat, permintaannya meningkat dengan perlahan kerana para pengguna kurang berminat menggunakan perkhidmatan pengangkutan atau penghantaran makanan disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar.

Grab berkata ia kekal optimistik terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Asia Tenggara.

Syarikat itu mencapai 42 juta pengguna sebulan, dan masih mempunyai ruang untuk berkembang di rantau yang didiami sekitar 650 juta orang.

“Kami terus optimis menjelang beberapa bulan terakhir 2024,” kata Encik Peter Oey, Ketua Pegawai Kewangan di Grab Holdings. 

“Kami melihat penukaran yang baik, daripada Ebitda (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan) kepada aliran tunai bebas, yang merupakan ukuran penting lain yang kami perhatikan.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg