Saham pembekal tenaga dan khidmat penyelesaian bandar Sembcorp jatuh pada 14 Mac selepas satu perjanjian yang dimeterai salah satu anak syarikatnya untuk mengimport gas asli dari Indonesia gagal.
Ia jatuh 4.9 peratus, atau $0.30, ke paras terendah harian $5.79, dengan 3.1 juta sekuriti bertukar tangan. Kali terakhir ia berdagang pada paras sedemikian ialah Februari 2024.
Saham Sembcorp terakhir ditutup 0.7 peratus, atau $0.04, lebih tinggi pada harga $6.09 pada 13 Mac, sebelum berita itu, lapor The Business Times (BT).
Selepas rehat dagangan tengah hari, harga saham itu naik semula kepada $5.85, masih rendah sebanyak 3.9 peratus, atau $0.24, (berbanding 13 Mac), dengan 4.1 juta sekuriti diurus niaga.
Berita tersebar pada 13 Mac bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh anak syarikat milik penuh Sembcorp, Sembcorp Gas, untuk mengimport gas asli dari Indonesia batal kerana kegagalan mendapatkan kelulusan kawal selia.
Sembcorp Gas menandatangani perjanjian itu – yang diumumkan pada September 2023 – dengan West Natuna Exploration, Empyrean Energy and Coro Energy Duyung (Singapore), untuk mengimport sehingga 111 bilion unit termal British setiap hari, gas asli berpaip dari medan gas Mako di Indonesia.
Sekiranya perjanjian itu tidak dibatalkan, penghantaran gas sepatutnya bermula pada 2026, untuk tempoh kira-kira 11 tahun.
Sembcorp berkata pada 13 Mac: “Perjanjian penjualan gas itu tertakluk pada kelulusan kawal selia sebagai syarat duluan. Memandangkan kelulusan kawal selia di Indonesia belum diperoleh, perjanjian penjualan gas itu akan ditamatkan dengan sewajarnya.”
Syarikat itu berkata pembatalan perjanjian itu tidak akan menjejas kos tenaganya atau keupayaannya memenuhi keperluan bekalan gas di Singapura, kerana ia akan terus memenuhi permintaan dengan memanfaatkan rangkaian sumber gas aslinya, termasuk gas asli cecair.
Berita itu tidak dijangka memberi kesan ketara ke atas pendapatan sesaham Sembcorp dan aset ketara bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, tambahnya.
Pada Jun 2023, Sembcorp Gas menandatangani satu perjanjian jualan $1.9 bilion dengan Medco E&P Natuna untuk mengimport gas asli dari medan gas Natuna Barat di Indonesia.
Perjanjian itu adalah untuk menambah bekalan gas asli sedia ada daripada sumber paip dan cecair, kata syarikat itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg