Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, M’sia akan kerjasama kaji cara iktiraf sijil tenaga boleh diperbaharui

Jan 7, 2025 | 1:00 PM
Singapura dan Malaysia akan bekerjasama untuk mengkaji cara mengiktiraf Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) yang dikaitkan dengan perdagangan elektrik rentas sempadan.
Singapura dan Malaysia akan bekerjasama untuk mengkaji cara mengiktiraf Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) yang dikaitkan dengan perdagangan elektrik rentas sempadan. - Foto fail

PUTRAJAYA: Singapura dan Malaysia akan bekerjasama untuk mengkaji cara mengiktiraf Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) yang dikaitkan dengan perdagangan elektrik rentas sempadan.

Pengumuman itu dibuat berikutan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) yang disaksikan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, Malaysia, pada 7 Januari.

Berucap semasa satu sidang media bersama di Kompleks Perdana Putra, Encik Wong berkata isu kemampanan adalah antara isu utama bagi Malaysia dan Singapura.

“Kami telah membincangkan dan membuat kemajuan baik tentang cara kami boleh bekerjasama dalam tenaga hijau dan kemampanan, termasuk melalui perdagangan elektrik rentas sempadan.

“Ada beberapa projek yang kami bincangkan, kedua-duanya datang melalui Laos-Thailand-Malaysia-Singapura dan juga dari Sarawak, dan kami komited sepenuhnya untuk merealisasikan Grid Kuasa Asean,” kata Encik Wong.

REC menandakan ciri-ciri alam sekitar di balik penjanaan satu megawatt jam (MWh) tenaga yang dihasilkan oleh sumber boleh diperbaharui seperti angin, suria, biojisim, kuasa hidro, biogas, geoterma dan projek gas tapak pelupusan.

Ia boleh digunakan untuk mengesahkan penggunaan elektrik daripada sumber boleh diperbaharui bagi mengimbangi penggunaan elektrik daripada sumber tidak boleh diperbaharui.

Dalam satu kenyataan pada 7 Januari, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata pembangunan rangka kerja REC rentas sempadan boleh dipercayai, dijangka memangkinkan permintaan bagi projek perdagangan elektrik rentas sempadan.

Ini seterusnya akan memacu pelaburan untuk menyokong daya maju jangka panjang projek tenaga boleh diperbaharui di rantau ini, tambahnya.

Singapura dan Malaysia telah pun memulakan import 50 megawatt elektrik boleh diperbaharui melalui Sembcorp Power Pte Ltd dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Malaysia, sebagai sebahagian daripada projek perintis Energy Exchange Malaysia (Enegem).

Import itu, yang bermula pada 13 Disember 2024, dibuat berikutan pemeteraian perjanjian pembekalan antara dua syarikat itu pada 9 Disember dan akan berlangsung selama dua tahun.

Projek Enegem ialah projek import tenaga pertama ke Singapura di mana tenaga boleh diperbaharui digabungkan dengan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui.

Hingga kini, hampir 28,000MWh tenaga elektrik telah diniagakan di bawah projek perintis itu, menurut MTI.

“Kedua-dua inisiatif itu menunjukkan momentum positif dalam pengembangan perdagangan elektrik rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia dan usaha dua negara ini memaksimumkan penggunaan penyambung sedia ada.

“Bagi membolehkan perdagangan kuasa dua hala dan serantau jangka panjang dan berskala besar, SP Group dan TNB sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk mengembangkan kapasiti dan infrastruktur penyambung antara Singapura dengan Malaysia,” kata MTI.

Malaysia meluluskan Jualan Elektrik Rentas Sempadan (CBES) untuk skim Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) pada Oktober 2023 bagi membolehkan penjualan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan melalui pertukaran tenaga ke negara jiran.

Ia mengadakan lelong sulungnya untuk penjualan elektrik hijau dari Malaysia ke Singapura melalui platform Enegem pada Jun 2024, berikutan peningkatan kapasiti Fasa 2 Projek Penyepaduan Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) kepada sehingga 200 megawatt.

Pengaliran sulung elektrik dari Malaysia ke Singapura pun telah dimulakan pada September 2024. Hingga kini, hampir 8,000MWh tenaga elektrik telah didagangkan di bawah Fasa 2, kata MTI.

Bercakap kepada media semasa menggulung rahat pemimpin itu pada 7 Januari, Encik Wong berkata ada lebih banyak projek gergasi yang ingin diteroka Singapura pada masa depan, termasuk daya usaha mengimport elektrik dari Sarawak.

“Ia adalah satu projek gergasi jika ia membuahkan hasil. Ini adalah tambahan kepada apa yang kami bersedia import melalui Semenanjung Malaysia, termasuk dari Laos, Thailand, Malaysia hingga ke Singapura.

“Ia sudah mengalir ke Singapura, tetapi ia agak kecil, dan kami benar-benar boleh melakukan lebih banyak lagi di sana.

“Kabel bawah laut Sarawak ini adalah projek utama yang sedang kami bincangkan dan kami harap kami boleh mencapai kemajuan di sana,” kata Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg