Saham SIA, syarikat penerbangan Asia jatuh susulan konflik AS-Iran
Saham SIA, syarikat penerbangan Asia jatuh susulan konflik AS-Iran
Saham Qantas jatuh 10.4%, paras terendah dalam masa 10 bulan
SYDNEY: Saham syarikat penerbangan menjunam pada 2 Mac, dengan saham Cathay Pacific dari Hong Kong, Singapore Airlines (SIA), Japan Airlines dan Qantas Airways dari Australia jatuh lebih 5 peratus.
Ini selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada 28 Februari, mengganggu laluan udara dan mencetuskan kenaikan harga minyak.
Pada 2 Mac, perjalanan udara sejagat kekal lumpuh, apabila konflik di Iran memaksa penutupan hab utama Timur Tengah, termasuk Dubai dan Doha, untuk hari ketiga berturut-turut.
Akibatnya, puluhan ribu penumpang dari seluruh dunia terperangkap, dan ribuan penerbangan terjejas.
Harga minyak melambung tinggi, naik lebih 7 peratus ke paras tertinggi dalam beberapa bulan.
Ini berlaku apabila Iran dan Israel meningkatkan serangan di Timur Tengah, merosakkan kapal tangki dan mengganggu penghantaran dari rantau pengeluar minyak utama.
Saham Qantas jatuh 10.4 peratus kepada paras terendah dalam 10 bulan ketika pasaran dibuka di Australia, namun kemudian pulih sedikit untuk menutup dagangan sekitar 6 peratus lebih rendah.
Meskipun syarikat itu tidak terbang ke Timur Tengah, ia bergantung kepada perkongsian kod penerbangan dengan Emirates dari Dubai.
Syarikat penerbangan Asia lain mencatat kemerosotan sekurang-kurangnya 4 peratus, termasuk ANA Holdings dari Jepun; Air China; China Southern Airlines; China Eastern Airlines; AirAsia X dari Malaysia; serta China Airlines dan EVA Airways dari Taiwan.
“Penjualan panik yang mendadak dalam saham syarikat penerbangan Asia mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap kenaikan kos bahan api, pembatalan penerbangan dan kos tambahan akibat penjadualan semula penerbangan susulan penutupan ruang udara dan lapangan terbang,” kata penganalisis ekuiti Morningstar, Cik Nicole Lim.
Namun, tambahnya, kebanyakan syarikat penerbangan Asia telah mengambil langkah perlindungan sebahagian terhadap kenaikan harga bahan api, yang mengurangkan kesan kenaikan harga jangka pendek.
Selain itu, beberapa syarikat mungkin meraih manfaat daripada tempahan oleh penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan.
Cathay Pacific, yang sahamnya jatuh sehingga 7 peratus sebelum pulih sedikit kepada 2.9 peratus, berkata ia telah membatalkan semua penerbangan ke Timur Tengah, termasuk perkhidmatan penumpang ke Dubai dan Riyadh, sehingga diberitahu kelak.
“Kami mengecualikan bayaran penjadualan semula dan penukaran laluan untuk pelanggan terjejas,” menurut kenyataan itu.
SIA turut membatalkan semua penerbangan antara Singapura dengan Dubai sehingga 7 Mac, manakala Japan Airlines menangguhkan penerbangan Tokyo-Doha buat sementara waktu.
“Bagi syarikat penerbangan Asia (Timur), bilangan penerbangan mereka ke lapangan terbang yang telah ditutup adalah agak terhad,” kata penganalisis penerbangan bebas berpangkalan di Singapura, Encik Brendan Sobie.
“Namun, sudah tentu, mereka berdepan risiko kesan harga minyak lebih tinggi serta ketidakstabilan politik dan ekonomi global.”
Penyedia data VariFlight berkata syarikat penerbangan di tanah besar China setakat ini telah membatalkan 26.5 peratus penerbangan antara negara itu dengan Timur Tengah dari 2 hingga 8 Mac.
“Secara keseluruhan, corak ini menunjukkan gangguan ketara dalam jangka masa terdekat tetapi perubahan jadual agak terhad bagi hari-hari berikutnya dalam minggu ini, menunjukkan bahawa syarikat penerbangan masih menunggu sebelum membuat penjadualan semula lebih luas sambil memantau perkembangan,” menurut VariFlight.
Kesan berganda daripada konflik di Timur Tengah telah menjejaskan para penumpang di seluruh dunia.
Menurut Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), Dubai merupakan lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia pada 2024, dengan 92 juta penumpang.
Doha pula merupakan lapangan terbang antarabangsa ke-10 paling sibuk pada 2024. – Reuters.

