Penyanyi popular, Mohammad Sufi Rashid, mungkin terkenal di pentas muzik, tetapi apabila Covid-19 melanda beberapa tahun lalu dan menghentikan kerjayanya seketika, beliau kerugian $50,000 hingga $60,000 daripada persembahan yang dibatalkan.
Namun, Sufi tidak berduduk diam.
Bersama isterinya, Cik Nurulain Md Yusof, mereka meneroka peluang baru yang tidak disangka-sangka – ‘bakat’ mereka di dapur.
Bermodalkan hanya $500 hingga $1,000, mereka mula berjinak-jinak dengan perniagaan produk sambal buatan sendiri. Perniagaan yang bermula sebagai projek kecil semasa pandemik itu kini semakin berkembang.
“Saya suka dengan cara isteri saya masak, dan dah biasa dengan sambal dia.
“Pada Ramadan 2021, semasa pandemik, saya terfikir kenapa tidak buat bisnes sambal dan saya mendorong isteri untuk mencuba,” kata Sufi.
Sebanyak 500 botol Sambel Biniku terjual semasa pelancaran pertamanya.
Menjalankan perniagaan sebagai suami isteri bukan tanpa cabaran.
Pasangan yang kededuanya berumur 33 tahun itu mengambil peranan yang berbeza dalam usaha mereka itu dan kerja berpasukan ini menjadi asas kejayaan mereka.
“Sejujurnya menguruskan perniagaan sebagai pasangan bukan mudah. Tapi kami sudah temui sistem yang berfungsi buat kami,” kata Sufi.
Cik Nurulain, yang teliti tentang kualiti produk, menguruskan pengeluaran, sementara Sufi menguruskan aspek penjualan, pengurusan stok serta perhubungan pelanggan.
“Saya uruskan bahagian perniagaan tapi kalau bab dapur, isteri yang uruskan. Saya percaya sepenuhnya pada cita rasa dia,” tambahnya.
Kejayaan Sambel Biniku di Malaysia dan Singapura mendorong mereka untuk terus mengembangkan perniagaan dengan melancarkan dua perisa baru, Sambal Cili Api dan Sambal Belacan yang dipasarkan baru-baru ini.
Sambel Biniku dimasak dan dibungkus di sebuah kilang di Klang Valley, Malaysia.
Sufi berkongsi tentang kepentingan mengimbangi cita rasa pelanggan dari dua negara berbeza semasa diwawancara oleh Berita Minggu (BM) baru-baru ini di rumahnya di Selangor, Malaysia.
“Isteri saya, orang Negeri Sembilan, memang suka pedas. Tapi kami terpaksa R&D beberapa kali untuk sesuaikan dengan cita rasa orang Singapura yang lebih suka pedas tahap sederhana,” kata Sufi.
Selain Sambel Biniku, pasangan ini juga menjalankan dua lagi perniagaan iaitu Krispy Yolks dan Krispy Krunchee yang dimulakan pada 2018, yang terkenal dengan kerepek kentang telur asin.
Menurut Sufi, pasaran di Malaysia lebih besar tetapi keuntungannya tidak setinggi di Singapura.
“Malaysia jauh lebih besar dari segi pasaran tapi usah jangkakan pulangan lebih tinggi seperti di Singapura. Namun, di Malaysia, kami boleh teroka lebih banyak perkara seperti reruai di mana prosesnya lebih mudah berbanding di Singapura,” kata Sufi.
Sufi juga mengakui bahawa minat isterinya dalam perniagaan makanan & minuman (F&B) sudah lama wujud sebelum mereka bertemu.
“Isteri saya memang dah ada bisnes sebelum ini, menjual ikan bilis dari Sabah ke Kuala Lumpur. Dia memang mempunyai semangat keusahawanan, dan itulah yang mendorong saya untuk sama-sama teroka bisnes F&B ini,” kata Sufi, yang menambah bahawa ibunya juga pernah berniaga nasi padang.
Bagi pasangan ini, rahsia kejayaan mereka adalah mengekalkan kualiti dan harga yang berpatutan.
“Walaupun GST naik, kami masih kekalkan harga kami pada $8 kerana percaya pada kualiti dan kemampuan,” kata Sufi.
Pengalaman yang dilalui semasa pandemik mengajar pasangan itu untuk menghargai setiap sen yang dibelanjakan.
Kedai di laman Shopee Malaysia. Harga: $8 hingga $10
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg