Samsung Electronics melancarkan telefon bimbit ‘lipat tiga’ pertamanya pada 2 Disember dalam usaha mengukuhkan kedudukannya dalam segmen pasaran telefon yang dijangka menyaksikan persaingan semakin sengit.
Model Galaxy Z TriFold akan mula dijual di Singapura mulai 19 Disember dan dipamerkan di gedung Samsung Experience Store di VivoCity, 313@Somerset dan Jurong Point untuk sesi percubaan.
Pelanggan Singapura boleh mendaftar minat mereka di laman web Samsung dari 3 hingga 10 Disember, dan akan menerima maklumat peringatan bagi membuat pembelian di laman yang sama mulai 12 Disember.
Model terbaru itu akan mula dijual di Korea Selatan pada 12 Disember, dan seterusnya diperkenalkan di China, Taiwan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum akhir 2025.
Pelancarannya di Amerika Syarikat pula dijangkakan berlaku seawal suku pertama 2026.
Pelancaran telefon bimbit itu menandakan usaha Samsung dalam mengukuhkan kedudukannya dalam segmen yang semakin dikuasai pesaing dari China, meskipun penganalisis berpendapat harga yang tinggi serta cabaran pengeluaran bermakna peranti boleh lipat mungkin kekal sebagai kategori khusus buat masa ini.
Model Galaxy Z TriFold berharga sekitar $3,170 boleh dibuka menjadi paparan bersaiz 253.1mm (10 inci) menggunakan tiga panel. Ia hampir 25 peratus lebih besar berbanding model boleh lipat terbaru Samsung, Galaxy Z Fold 7.
“Saya yakin pasaran peranti boleh lipat akan terus berkembang, dan model TriFold khususnya boleh mendorong pertumbuhan lebih cepat dalam segmen ini,” kata Naib Presiden Eksekutif Samsung Electronics dan Ketua Pejabat Jualan & Pemasaran Korea, Encik Alex Lim.
Beliau menambah peranti boleh lipat seperti ini disasarkan kepada pelanggan yang memang menginginkannya secara khusus, dan bukan sebagai pemacu jualan besar-besaran.
Tambahnya, cip memori dan komponen lain semakin meningkat harganya dan ini menjadikan penetapan harga satu “keputusan sukar”.
Meskipun begitu, model terbaru ini dilengkapi dengan bateri terbesar dalam kalangan model-model utama Samsung, dan menyokong proses mengecas pantas, yang boleh menghidupkan kembali daya tahan telefon sehingga 50 peratus dalam 30 minit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg