Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SARANAN JAWATANKUASA PENASIHAT BAGI PEKERJA PLATFORM

Sokong laksana saranan bagi lindungi pekerja platform dalam talian: Wakil industri, kesatuan

Nov 25, 2022 | 05:30 AM



KESATUAN sekerja akan bekerjasama dengan pemerintah bagi langkah-langkah peralihan demi menyokong pekerja platform dalam talian menyusuli pengumuman saranan oleh Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform kelmarin bagi memperkukuh perlindungan untuk golongan itu.



Saranan itu antara lain memerlukan syarikat dan pekerja platform membuat sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), yang mandatori bagi pekerja bawah usia 30 tahun, untuk memenuhi keperluan perumahan dan persaraan.



Syarikat platform juga harus menyediakan skop dan tahap pampasan kecederaan kerja yang sama seperti hak pekerja di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica).



Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, berkata dalam soal sumbangan CPF contohnya, beliau menyedari bahawa terdapat cabaran yang boleh dihadapi sesetengah pekerja platform dalam memenuhi keperluan segera.



"Kami akan bekerjasama dengan pemerintah bagi langkah-langkah peralihan berpotensi untuk menyokong pekerja platform kita.



"Selain langkah-langkah segera ini, NTUC mahu memastikan gaji yang adil untuk pekerja platform seperti kami lakukan untuk pekerja yang diwakili kesatuan - dengan gaji mereka setimpal dengan peranan mereka, dan sebarang langkah yang dilaksanakan tidak harus memberi kesan besar terhadap gaji yang dibawa pulang," katanya dalam satu catatan Facebook.



Encik Ng menambah bahawa ini memastikan cara yang mampan untuk menggalak pendapatan, kebajikan dan prospek kerja lebih baik untuk pekerja dalam industri platform itu.



Kelmarin, Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform mengemukakan 12 saranan bagi memperkukuh perlindungan untuk golongan itu dalam satu laporan 58 halaman menyusuli pendekatan dan pertimbangan selepas lebih setahun.



Saranan tersebut bertujuan memastikan pekerja platform mempunyai perlindungan kewangan mencukupi sekiranya kecederaan kerja berlaku, mempertingkat kecukupan persaraan dan perumahan, dan mempertingkat perwakilan untuk golongan itu.



Pemain industri platform di sini telah menyeru pemerintah agar menyediakan sokongan kepada pekerja dan memastikan pelaksanaan saranan tersebut tidak akan menjejas pendapatan mereka dan mengambil pertimbangan kesan kos ke atas syarikat dan juga pengguna.



Antaranya, NTUC, Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Pejuang Pengiriman Nasional (NDCA) dalam satu kenyataan bersama kelmarin berkata mereka menyokong saranan yang dikemukakan, namun menyeru pemerintah supaya memberikan sokongan mencukupi kepada pekerja apabila mereka menyumbang kepada CPF.



Mereka menambah bahawa mereka bersedia bekerja dengan pemerintah dalam hal itu.



Penasihat NTA, NPHVA dan NDCA, Cik Yeo Wan Ling, berkata banyak kerja menanti untuk melaksanakan saranan tersebut dan pihaknya komited memastikan ia tidak akan menjejas pendapatan adil pekerja.



"Persatuan kami akan memantau pelaksanaan saranan yang akan datang dan terus mendekati pekerja platform kami demi memastikan keprihatinan dan pertanyaan mereka ditangani," katanya.



Meskipun mengalu-alukan semakan yang dijalankan, beberapa pekerja platform telah mengutarakan keprihatinan pendapatan mereka akan terjejas.



Pekerja penghantaran Deliveroo, Encik Muhammad Haziq Rahman, 25 tahun, misalnya berkata beliau prihatin tentang sumbangan CPF itu kerana kadar bayaran penghantaran yang dibayar syarikat platform hari ini sudah pun amat rendah.



"Saya rasa kadar pendapatan kita akan menjadi lebih rendah dan pekerja penghantaran akan perlu bekerja masa lebih lama hanya untuk membawa pulang gaji yang mencukupi," katanya.



"Jika mereka mahu melaksanakan saranan ini, saya rasa mereka harus semak gaji yang kami raih setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan sebelum mereka laksanakan rancangan," tambahnya.



Syarikat platform di sini turut mengetengahkan beberapa keprihatinan mengenai gaji pekerja dan kos, sambil menambah bahawa mereka akan terus mendekati pekerja dan pemerintah bagi mengusahakan butiran pelaksanan saranan tersebut dan juga sokongan yang boleh disediakan.



Jurucakap Grab berkata saranan yang dikemukakan perlu dilaksanakan secara bertahap, terutamanya dalam konteks ekonomi semasa dengan "harga meningkat dan potensi kemelesetan, digabungkan dengan potensi kos operasi dan pelaksanaan yang tinggi".



"Contohnya, sumbangan penuh 17 peratus dan 20 peratus daripada platform dan pekerja platform harus dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun," katanya.



Syarikat foodpanda pula berkata sebarang pelaksanaan langkah-langkah mesti mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penghantaran, terutamanya dalam keadaan ekonomi mencabar hari ini.



"Langkah-langkah itu harus mempertimbang potensi kesannya misalnya, peningkatan kos yang mungkin perlu ditanggung bersama-sama dengan pengguna dan rakan peniaga. Ini secara tidak sengaja boleh menjejas pendapatan pekerja," kata jurucakap syarikat itu.



Berkongsi pandangan, pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berkata meskipun ramai pihak berkepentingan, termasuk pekerja gig sendiri, mengiktiraf nilai sumbangan CPF, mereka juga bimbang tentang gaji dibawa pulang yang lebih rendah.



Di samping itu, kadar sumbangan CPF keseluruhan sebanyak 37 peratus juga bererti perubahan besar terhadap gaji yang dibawa pulang, margin platform, dan tambang serta yuran.



Oleh itu, Dr Theseira berkata masuk akal bahawa perubahan itu perlu dilakukan secara berperingkat.



"Jika ia dilaksanakan dalam sekelip mata, saya menjangkakan ada gangguan besar dalam sektor itu, kerana tidak jelas bagaimana untuk mengagihkan perubahan besar sedemikian antara pihak berkepentingan.



"Siri perubahan yang lebih kecil membolehkan penyesuaian sedemikian berlaku secara bertahap, dan pada akhirnya, pengagihan tepat antara pengguna/perniagaan, platform, dan pekerja, benar-benar perlu diputuskan kuasa pasaran," katanya.



Dr Theseira menambah bahawa pemerintah sebelum ini pernah menyediakan sokongan bagi sumbangan CPF, seperti Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan, dan ia akan dapat membantu sekiranya pemerintah dapat mempertimbang sekiranya ia boleh memadankan sebahagian sumbangan CPF itu pada permulaan pelaksanaan saranan tersebut.



"Ini terutamanya kerana sumbangan CPF sebenarnya disubsidi cukai tetapi kebanyakan pekerja gig tidak akan menikmati faedah cukai.



"Saya rasa terdapat ruang untuk mempunyai pemadanan atau subsidi dan bukannya subsidi cukai bagi pekerja platform berpendapatan rendah," katanya.




"Kami akan bekerjasama dengan pemerintah bagi langkah-langkah peralihan berpotensi untuk menyokong pekerja platform kita.

Selain langkah-langkah segera ini, NTUC mahu memastikan gaji yang adil untuk pekerja platform seperti kami lakukan untuk pekerja yang diwakili kesatuan - dengan gaji mereka setimpal dengan peranan mereka, dan sebarang langkah yang dilaksanakan tidak harus memberi kesan besar terhadap gaji yang dibawa pulang."


- Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.




"Persatuan kami akan memantau pelaksanaan saranan yang akan datang dan terus mendekati pekerja platform kami demi memastikan keprihatinan dan pertanyaan mereka ditangani."

- Penasihat NTA, NPHVA dan NDCA, Cik Yeo Wan Ling.




"Saya rasa kadar pendapatan kita akan menjadi lebih rendah dan pekerja penghantaran akan perlu bekerja masa lebih lama hanya untuk membawa pulang gaji yang mencukupi,"

Jika mereka mahu melaksanakan saranan ini, saya rasa mereka harus semak gaji yang kami raih setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan sebelum mereka laksanakan rancangan."


- Pekerja penghantaran Deliveroo, Encik Muhammad Haziq Rahman.




"Jika ia dilaksanakan dalam sekelip mata, saya menjangkakan ada gangguan besar dalam sektor itu, kerana tidak jelas bagaimana untuk mengagihkan perubahan besar sedemikian antara pihak berkepentingan.

Siri perubahan yang lebih kecil membolehkan penyesuaian sedemikian berlaku secara bertahap, dan pada akhirnya, pengagihan tepat antara pengguna/perniagaan, platform, dan pekerja, benar-benar perlu diputuskan kuasa pasaran."


- Pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >