Topik diikuti
Pergi ke BHkuSBF lancar alat bantu firma nilai kesediaan masa depan, atasi jurang keupayaan
SBF lancar alat bantu firma nilai kesediaan masa depan, atasi jurang keupayaan
Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) telah melancarkan satu alat diagnostik menyeluruh baharu pada 21 September untuk membantu syarikat menilai kesediaan masa depan mereka, mengenal pasti jurang keupayaan, serta mengutamakan usaha transformasi.
Pelancaran itu dirasmikan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, pada acara Future Ready Business in Action 2026, yang diadakan buat julung kali.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada wadah Future Ready Business atau Perniagaan Sedia Masa Depan yang lebih luas.
Indeks Perniagaan Sedia Masa Depan (FRBI) berkenaan dibangunkan bersama Boston Consulting Group (BCG) dan disampaikan menerusi kerjasama dengan DBS, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) serta RSM Singapore.
FRBI menilai 11 ukuran kuantitatif dan 39 metrik kualitatif berserta rubrik dengan petunjuk khusus bagi memastikan penilaian lebih objektif.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon, berkata alat berkenaan berfungsi sebagai “semakan kesediaan perniagaan” yang merangkumi enam dimensi utama.
Enam dimensi utamanya ialah pertama, ‘berteraskan kejayaan’ yang menilai prestasi perniagaan termasuk strategi dan kekuatan kewangan.
Ini diikuti dimensi ‘peluasan secara global’ yang mempertimbangkan kesediaan untuk pertumbuhan di peringkat antarabangsa.
Ketiga, ‘pemerkasaan pintar’ yang melihat kepada penggunaan teknologi termasuk kesiapsiagaan dalam prasarana data dan keselamatan siber.
Selain itu, ia turut merangkumi ‘pemerkasaan kemahiran’ yang menilai perancangan dan pembangunan tenaga kerja.
Dimensi kelima ‘berteraskan kemampanan’ pula meneroka langkah seperti pemantauan pelepasan karbon dan kesediaan merebut peluang hijau.
Terakhir, ‘impak secara sosial’ menilai tujuan perniagaan dan tadbir urus sesebuah syarikat.
Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Kanan BCG, Cik Mariam Jaafar, menyatakan bahawa indeks berkenaan menggunakan model berbentuk ‘T’, yang menawarkan penilaian secara menyeluruh di samping membantu perniagaan memahami aspek utama yang memerlukan paling banyak usaha penambahbaikan.
Ia merupakan “langkah pertama” yang memberi masyarakat perniagaan sesuatu yang belum pernah ditawarkan dalam skala sebegini, kata Encik Kok, sambil mengetengahkan tiga keistimewaan alat diagnostik ini berbanding alat lain.
Pertama, ia memberikan gambaran menyeluruh kepada syarikat perniagaan, dan bukan sekadar memberi tumpuan kepada satu aspek sahaja.
Enam dimensi berkenaan saling berhubung kait, dengan setiap keupayaan saling melengkapi antara satu sama lain, katanya.
Sebagai contoh, asas yang kukuh diperlukan bagi menyokong pertumbuhan di luar negara, manakala faktor kemampanan pula boleh mempengaruhi kos.
Kedua, FRBI menilai tahap kematangan keupayaan syarikat dan bukan sekadar aktiviti semata-mata.
Ia bukan sahaja bertanyakan mengenai kadar penggunaan, malah sejauh mana keupayaan tersebut diterapkan serta menghasilkan hasil yang positif.
Ketiga, alat ini menterjemahkan dapatan diagnostik kepada tindakan nyata.
Dengan mengenal pasti jurang paling penting, ia membantu syarikat “menumpukan masa dan sumber terhad kepada aspek yang memberikan impak paling besar”.
Penasihat seterusnya akan membimbing syarikat-syarikat ini kepada program, latihan, pembiayaan, serta sokongan pakar yang relevan di serata ekosistem berkenaan.
“Lebih 100 syarikat telah melengkapkan penilaian FRBI. Kami berhasrat menggandakan jumlah tersebut kepada 200 menjelang akhir tahun ini (2026) dan seterusnya mencapai sasaran 500 syarikat secara keseluruhan menjelang penghujung tahun depan,” kata Encik Kok.
Apabila semakin banyak syarikat menggunakan FRBI, alat tersebut boleh ditambah baik dari semasa ke semasa agar kekal relevan dengan keperluan perniagaan serta persekitaran operasi semasa, jelas Encik Kok.
Sementara itu, Cik Mariam yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, berkata berdasarkan maklum balas daripada projek rintis, alat berkenaan telah disesuaikan bagi membolehkan syarikat mengagihkan aspek tertentu kepada ahli pasukan yang mempunyai kepakaran relevan.
Wadah Perniagaan Sedia Masa Depan ini turut merangkumi tawaran tambahan lain seperti sesi dialog tertutup serta lawatan belakang tabir syarikat, dengan matlamat membantu syarikat melangkah daripada diagnosis kepada tindakan susulan.
